KPKT teliti penambahbaikan skim Sewa untuk Milik PPR

Estimate Reading Time: < 1 minute

KUALA LUMPUR: Kementerian Pembangunan Kerajaan Tempatan (KPKT) sedang meneliti penambahbaikan skim Sewa untuk Milik (RTO) bawah Program Perumahan Rakyat (PPR) bagi memastikannya menepati keperluan golongan sasar.

-Advertisement-

Timbalan Menteri Pembangunan Kerajaan Tempatan, Akmal Nasrullah Mohd Nasir, berkata kementerian bersedia untuk meneruskan kerjasama dengan pelbagai agensi, termasuk pihak swasta dan institusi kewangan, untuk memperluaskan skim berkenaan.

“Menerusi Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK-12), skim RTO adalah satu bentuk skim pemilikan rumah melalui sewaan membabitkan pemaju dan pihak institusi kewangan bagi menyediakan perumahan kepada golongan sasar.

“Kerajaan menetapkan skim RTO akan diperluas bagi membolehkan lebih ramai kumpulan sasar, iaitu golongan B40 dan M40, memiliki rumah,” katanya pada sesi jawab lisan di Dewan Rakyat, hari ini.

Beliau menjawab soalan Rushdan Rusmi (PN-Padang Besar) sama ada konsep sewa beli untuk pembeli rumah pertama dilaksanakan oleh institusi kewangan seperti bank atau akan melalui agensi kerajaan seperti Syarikat Perumahan Negara Bhd (SPNB) dan Perbadanan PR1MA Malaysia (PR1MA) atau koperasi.

-Advertisement-

Menjelaskan lanjut, Akmal Nasrullah berkata, skim RTO diperkenalkan pada 2017 khusus untuk membantu pemilikan rumah bagi golongan B40 yang ditawarkan unit PPR tetapi gagal mendapat pembiayaan daripada mana-mana institusi kewangan.

Beliau berkata, harga jualan PPR RTO adalah RM50,000 merangkumi wang peruntukan sementara bagi tujuan penyelenggaraan.

“Skim RTO ini sudah dilaksanakan di 18 PPR membabitkan 7,234 unit rumah. Hingga 30 September lalu, sebanyak 5,620 keluarga ditawarkan skim ini di seluruh negara.

“Kerajaan sentiasa komited menyediakan program perumahan mampu milik bagi meningkatkan kesejahteraan hidup rakyat, dan memastikan setiap rakyat mempunyai tempat tinggal tanpa mengira sama ada secara pemilikan atau sewaan dengan konsep perumahan sebagai tempat tinggal,” katanya.
-BeritaHarian


Notice: ob_end_flush(): failed to send buffer of zlib output compression (0) in /home/capitalp/public_html/wp-includes/functions.php on line 5373