KPN ingatkan penyelia, pantau anak buah jangan ‘conteng arang ke muka’ PDRM

Estimate Reading Time: 2 minutes

KUALA LUMPUR: Kejadian jenayah dan salah laku oleh segelintir pegawai dan anggota yang dilaporkan baru-baru ini, ‘menconteng arang ke muka’ pasukan Polis Diraja Malaysia (PDRM).

-Advertisement-

Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain berkata ia merosakkan reputasi dan mengurangkan kepercayaan masyarakat terhadap PDRM.

“Saya sekali lagi ingin mengulangi dan memberi peringatan kepada diri saya dan penyelia di semua peringkat untuk bertanggungjawab dalam mengawal selia pegawai serta anggota masing-masing dari semua sudut.

“PDRM tidak akan teragak-agak mengambil tindakan yang sewajarnya terhadap penyelia didapati gagal dalam penyeliaan seperti termaktub dalam Peraturan 3C Peraturan-Peraturan Pegawai Awam (Kelakuan dan Tatatertib) 1993,” katanya berucap pada Perhimpunan Bulanan Ketua Polis Negara (KPN) anjuran Jabatan Pengurusan di Bukit Aman, hari ini.

Isu pelanggaran tatatertib yang mencemarkan imej PDRM antaranya seorang pegawai kanan polis ditahan terbabit kes bunuh secara langgar pelajar Tingkatan Lima di Perak; kekerasan terhadap lelaki oleh Ketua Polis Balai di Perak dan dua anggota terbabit kes samun serta rogol pelajar warga asing dalam kereta peronda di Selangor.

Selain itu dua anggota ditahan disyaki terbabit kes samun di Terengganu; lima pegawai ditahan memiliki ketum di Melaka.

-Advertisement-

Turut dikesan lima anggota ditahan terbabit kes pemerasan pekerja kilang di Pulau Pinang; penemuan wang tunai RM3,753 daripada seorang sarjan ketika mengadakan sekatan jalan di Selangor; seorang anggota disiasat menyimpan ‘angpau’ di Kuala Lumpur dan lapan anggota ditahan terbabit pemerasan di Johor.

Razarudin berkata, tindakan tegas perlu diambil oleh segenap lapisan untuk mengelak insiden sedemikian berulang.

“Integriti kekal sebagai keutamaan yang perlu menjadi budaya seluruh warga PDRM.

“Kita perlu menjiwai, menghayati dan membudayakan nilai integriti dalam setiap aspek penugasan. Integriti yang utuh dan tatakelola baik akan menjadi benteng kepada kita daripada terjebak melakukan kemungkaran sekali gus dapat mengecilkan serta menutup segala ruang melakukan rasuah atau salah laku,” katanya.

Pada majlis berkenaan, Razarudin turut menyampaikan sijil penghargaan kepada 26 pegawai dan kakitangan awam dari setiap jabatan yang menunjukkan prestasi cemerlang sepanjang perkhidmatan.
-BeritaHarian


Notice: ob_end_flush(): failed to send buffer of zlib output compression (0) in /home/capitalp/public_html/wp-includes/functions.php on line 5373