Usah guna satu kaedah rawatan, ubatan tangani isu integriti polis

Estimate Reading Time: 2 minutes

Dalam tempoh dua bulan, akhbar ini menyenaraikan sembilan kes salah laku polis dilaporkan media dengan terbaru, pemeriksaan mengejut Jabatan Integriti Pematuhan Standard (JIPS) Bukit Aman menemukan sampul ‘angpau’ dalam lokar seorang anggota di Balai Polis Setapak. Isnin lalu, seorang pegawai polis berpangkat Inspektor bersama tujuh anggota dari IPD Seri Alam, Johor Bahru ditahan bagi membantu siasatan kes pemerasan membabitkan wang tunai RM35,000.

-Advertisement-

Kita sedar jumlah ‘kelapa komeng’ memang kecil, iaitu 2 peratus daripada keseluruhan 137,000 personel Polis Diraja Malaysia (PDRM) tetapi mereka bukan sahaja ibarat ‘seekor kerbau membawa lumpur semuanya terpalit’, bahkan lebih berbahaya boleh merebak dan menjangkiti kakitangan lain. Malah, peratusan rendah juga tidak boleh dipandang enteng kerana babitkan keselamatan negara dan rakyat, sekali gus mendedahkan kita kepada ancaman jenayah apabila ada bersekongkol atau menutup mata.

Susulan peningkatan kes itu juga, Persatuan Pegawai-Pegawai Kanan Polis Bersara Malaysia (RESPA) menyarankan modul latihan rekrut baharu disemak semula dengan memberikan lebih penekanan kepada pengukuhan mental, kerohanian, disiplin dan integriti supaya tidak mudah terpesong dan tergoda pelbagai dugaan, termasuk tawaran rasuah. Ada pihak menyarankan gaji polis terutama kategori lain-lain pangkat dinaikkan tetapi Persatuan Pegawai Rendah Polis Diraja Malaysia (PPRPD) menganggap ia bukan faktor meskipun mengakui paras minimum pendapatan golongan itu tidak setimpal keperluan semasa.

Malah, pertubuhan masyarakat sivil (CSO) pernah menggesa kerajaan menambah bidang kuasa Suruhanjaya Bebas Tatakelakuan Polis (IPCC) membolehkannya berfungsi sebagai badan pengawasan polis bebas dan efektif menangani isu salah laku polis selepas Suruhanjaya Integriti Agensi Penguatkuasaan (EAIC) mengumumkan tidak lagi menerima aduan berhubung PDRM bermula Julai tahun lalu. Mereka mahu kuasa yang dahulu disebut-sebut dalam Suruhanjaya Bebas Aduan dan Salah Laku Polis (IPCMC), bukan apa dimiliki IPCC kerana tiada kuasa menggeledah atau menyita serta tidak boleh melawat lokap polis tanpa notis awal, sekali gus hanya mampu memberi cadangan kepada Suruhanjaya Pasukan Polis (SPP).

-Advertisement-

Hakikatnya, menangani isu integriti ini tidak boleh menggunakan satu kaedah rawatan atau memberikan sejenis ubat sahaja seperti modul latihan rekrut baharu yang mungkin akan menimbulkan persoalan bagaimana pula kakitangan sedia ada yang pastinya akan ‘menjangkiti’ mereka atau menaikkan gaji polis hingga berasa tidak perlu menerima rasuah sedangkan nafsu dan haloba tiada sempadannya. Begitu juga mewujudkan badan pemantau lebih berkuasa kerana kelak siapa pula bakal mengawasi mereka kerana kita tahu kelicikan penjenayah tiada hadnya.

Sebaliknya, isu integriti pihak berkuasa memerlukan ketegasan kerajaan dan pimpinan kanan polis sendiri, sifat amanah anggota serta pegawainya, kebajikan dan kehidupan kakitangan pihak berkuasa itu terjamin serta terpelihara, penggunaan metodologi dan peralatan terkini yang dapat meminimumkan ruang salah guna kuasa, bahkan tidak kurang penting kerjasama setiap segmen dalam masyarakat termasuk pertubuhan bukan kerajaan (NGO), CSO, masyarakat Madani, institusi agama, syarikat korporat dan tidak lupa orang perseorangan.
-BeritaHarian


Notice: ob_end_flush(): failed to send buffer of zlib output compression (0) in /home/capitalp/public_html/wp-includes/functions.php on line 5373