KPPA Santuni Bekas Guru, Hargai Jasa Pendidik

Estimate Reading Time: < 1 minute

AMPANG 3 Oktober 2026 (The Capital Post) – Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam (KPPA), Tan Sri Dr. Wan Ahmad Dahlan bin Haji Abdul Aziz, menziarahi bekas guru Bahasa Melayunya, Puan Nik Aziah binti Wan Hamzah, di kediamannya di Ampang, Selangor menerusi Program Santuni Pesara, sebagai tanda penghargaan terhadap jasa dan sumbangan insan yang pernah mendidiknya.

Puan Nik Aziah merupakan bekas guru Wan Ahmad Dahlan ketika beliau berada di Tingkatan Lima di Maktab Sultan Ismail atau Sultan Ismail College, Kota Bharu, Kelantan.

Kunjungan tersebut memberi peluang kepada beliau untuk bertemu semula dengan bekas gurunya selepas puluhan tahun, selain mengenang kembali pengalaman ketika menerima tunjuk ajar dan bimbingan di bangku persekolahan.

Pertemuan itu turut menggambarkan perjalanan seorang murid yang kemudiannya memikul amanah sebagai Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam, namun tidak melupakan individu yang pernah memainkan peranan dalam membentuk ilmu dan pendidikan pada peringkat awal kehidupannya.

-Advertisement-

Program Santuni Pesara yang dilaksanakan Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) mencerminkan keprihatinan berterusan terhadap kebajikan serta kesejahteraan pesara, selain menjadi wadah untuk menghargai khidmat dan sumbangan mereka kepada perkhidmatan awam serta negara.

Kunjungan berkenaan turut membawa nilai peribadi yang tersendiri apabila seorang bekas pelajar berkesempatan menzahirkan penghargaan secara langsung kepada guru yang pernah menjadi sebahagian daripada perjalanan pendidikannya – The Capital Pos