KUALA LUMPUR 10 Jun 2026 (The Capital Post) – Kementerian Pertahanan (MINDEF) terus memperkukuh komitmennya dalam memperkasa pendidikan anak-anak warga pertahanan menerusi pelbagai inisiatif bantuan pendidikan dan insentif kecemerlangan akademik yang memberi manfaat kepada ratusan penerima di seluruh negara.
Komitmen tersebut dizahirkan menerusi penganjuran Majlis Anugerah Kecemerlangan Pendidikan (AKP) 2026 yang disempurnakan oleh Menteri Pertahanan, YB Dato’ Seri Mohamed Khaled bin Nordin di Wisma Perwira Angkatan Tentera Malaysia (ATM).
Pada majlis berkenaan, seramai 181 pelajar menerima Anugerah Kecemerlangan Pendidikan SPM selepas mencatat keputusan cemerlang dalam peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2025. Selain itu, bantuan melanjutkan pengajian turut disampaikan kepada 32 pelajar yang berjaya melanjutkan pengajian ke Universiti Awam serta lima pelajar yang akan menyambung pengajian di universiti luar negara.
Bagi tahun 2026, MINDEF memperuntukkan dana keseluruhan berjumlah RM464,400 yang memanfaatkan seramai 605 penerima melalui pelbagai program pendidikan dan ganjaran akademik.
Daripada jumlah tersebut, sebanyak RM166,000 diperuntukkan bagi bantuan melanjutkan pengajian ke Universiti Awam dan institusi pengajian tinggi luar negara, manakala RM298,400 disalurkan kepada 446 pelajar cemerlang SPM 2025 menerusi Insentif Akademik AKP 2026.
-Advertisement-
Inisiatif tersebut selaras dengan Fokus Keenam Kementerian Pertahanan Tahun 2026 yang memberi penekanan terhadap kebajikan serta pemerkasaan sosioekonomi warga pertahanan melalui pembangunan modal insan yang berkualiti dan akses pendidikan yang inklusif.
MINDEF percaya pelaburan dalam bidang pendidikan merupakan langkah penting dalam melahirkan generasi masa depan yang berilmu, berdaya saing dan mampu menyumbang kepada pembangunan negara, di samping meningkatkan kesejahteraan keluarga warga pertahanan.
Turut hadir Timbalan Menteri Pertahanan, YB Adly bin Zahari; Panglima Angkatan Tentera, Jeneral Tan Sri Haji Malek Razak bin Sulaiman; Ketua Setiausaha Kementerian Pertahanan, Datuk Lokman Hakim Ali; Ketua Eksekutif Yayasan LTAT, Dato’ Dr. Mohd Nizar bin Haji Sudin; Panglima-Panglima Perkhidmatan serta pegawai kanan Kementerian Pertahanan dan Angkatan Tentera Malaysia. – The Capital Post