PULAU PINANG, 16 Julai 2026 (The Capital Post) – Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) meninjau kemajuan projek pembangunan serta keperluan fasiliti di Universiti Teknologi MARA (UiTM) Cawangan Pulau Pinang, Politeknik Balik Pulau (PBU) dan Politeknik Seberang Perai (PSP) menerusi lawatan kerja yang diketuai Timbalan Ketua Setiausaha (Pengurusan dan Pembangunan), YBhg. Datuk Ts. Dr. Mohd. Nor Azman Hassan.
Lawatan dimulakan di PBU dengan taklimat oleh Pengarahnya, Ts. Jasni Mohd. Yusof, sebelum beliau meninjau Projek Menaik Taraf Dewan dan Pusat Islam PBU yang sedang dilaksanakan oleh Jabatan Kerja Raya (JKR).
Di UiTM Cawangan Pulau Pinang, beliau meninjau beberapa projek pembangunan kampus serta mendengar pembentangan mengenai keperluan penambahbaikan infrastruktur bagi menyokong operasi dan perkembangan universiti. Lawatan turut melibatkan dapur latihan dan hotel latihan Fakulti Pengurusan Hotel dan Pelancongan (FPHP), dengan taklimat disampaikan oleh Rektor UiTM Cawangan Pulau Pinang, Prof. Dato’ Ir. Dr. Hj. Ahmad Rashidy Razali.
Mewakili Ketua Setiausaha KPT, Datuk Ts. Dr. Mohd. Nor Azman turut menyempurnakan pelancaran TVET Collaboration Hub (TCH) dan HaLTEC (Halal and Logistic Technology Excellence Centre) di PSP yang menjadi platform memperluas kerjasama antara institusi Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) dengan industri dalam bidang teknologi halal dan logistik.
-Advertisement-
Beliau turut menyempurnakan Majlis Penutup Konvensyen Horizon Baharu Kumpulan Inovatif dan Kreatif (HBKIK) 2026 Jabatan Pendidikan Politeknik dan Kolej Komuniti (JPPKK) Peringkat Kebangsaan sebagai pengiktirafan terhadap usaha memperkukuh budaya inovasi dan penambahbaikan berterusan dalam ekosistem Politeknik dan Kolej Komuniti (POLYCC).
Turut hadir Timbalan Ketua Pengarah (Perancangan) JPPKK, Haji Ulaimi Yahya; Pengarah PSP, Haji Mohd. Ruzi Hamzah; serta para Pengarah POLYCC Zon Utara.
Menurut hantaran di laman Facebook rasmi Kementerian Pendidikan Tinggi, lawatan kerja tersebut mencerminkan komitmen KPT dalam memastikan institusi pengajian tinggi terus diperkasa dengan infrastruktur berkualiti serta kemudahan yang memenuhi keperluan pendidikan dan industri. – The Capital Post.