WAKAF BHARU 9 Oktober 2026 (The Capital Post) – Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) memperkukuh usaha menyediakan persekitaran pembelajaran yang lebih selamat dan kondusif menerusi pelaksanaan Inisiatif Sekolah Angkat MADANI Tahun 2026 di Sekolah Kebangsaan Seri Wakaf Bharu, Kelantan.
Majlis penyerahan projek berkenaan berlangsung pada 8 Oktober lalu dan disempurnakan oleh Ketua Setiausaha KPWKM, YBhg. Datuk Dr. Maziah Che Yusoff.
Menerusi inisiatif tersebut, KPWKM melaksanakan kerja-kerja pembaikan dan naik taraf bangunan Program Pendidikan Khas Integrasi (PPKI) bagi meningkatkan keselesaan murid serta membantu guru menjalankan aktiviti pengajaran dan pembelajaran dengan lebih berkesan.
Majlis itu turut merangkumi sesi pendedahan Modul MEKAR oleh Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara (LPPKN) serta program advokasi antigangguan seksual kendalian Jabatan Pembangunan Wanita (JPW).
Selain itu, pameran oleh Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), LPPKN, JPW dan Talian KASIH 15999 turut diadakan bagi meningkatkan pengetahuan warga sekolah mengenai perkhidmatan serta sokongan yang disediakan oleh agensi berkenaan.
-Advertisement-
Tiga aset bergerak turut dibawa ke sekolah, iaitu Klinik Bergerak LPPKN, Trak Pusat Sokongan Sosial Setempat (PSSS) dan Kiosk Wagon di bawah Yayasan Kebajikan Negara (YKN), yang menyediakan perkhidmatan makanan serta gunting rambut secara percuma.
Pelbagai pengisian tersebut bertujuan meningkatkan kesedaran guru dan murid mengenai pembangunan diri, kesejahteraan sosial serta kepentingan mewujudkan persekitaran yang harmoni dan bebas daripada gangguan seksual.
Turut hadir ialah Timbalan Pengarah Pendidikan (Sektor Perancangan dan Pengurusan PPD) Jabatan Pendidikan Negeri Kelantan, YBrs. Tuan Haji Azhan Anuar; Pegawai Pendidikan Daerah Tumpat, YBrs. Encik Rozeman Din; Guru Besar SK Seri Wakaf Bharu, YBrs. Puan Norazah Abdullah; serta pegawai kanan KPWKM – The Capital Post