KUALA LUMPUR 9 Oktober 2026 (The Capital Post) – Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) membuka ruang kerjasama strategik bersama Grab Malaysia bagi memperluas penyertaan wanita dalam ekonomi gig, termasuk menangani keperluan serta cabaran yang dihadapi golongan berkenaan.
Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, YB Dato’ Sri Nancy Shukri, menerima kunjungan hormat delegasi Grab Malaysia di Parlimen pada 8 Oktober lalu.
Pertemuan itu turut disertai barisan pengurusan tertinggi KPWKM, termasuk Timbalan Ketua Setiausaha (Dasar), Setiausaha Bahagian Kesejahteraan Wanita, Kanak-kanak dan Keluarga, Ketua Pengarah Jabatan Pembangunan Wanita (JPW), Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan Kebajikan Negara (YKN) serta Setiausaha Bahagian Perancangan dan Kolaborasi Strategik.
Antara perkara yang dibincangkan ialah peluang memperkukuh penglibatan wanita dalam sektor ekonomi gig, termasuk keperluan perkhidmatan pengangkutan dan penghantaran khusus untuk wanita.
-Advertisement-
Perbincangan turut merangkumi cadangan bagi menangani cabaran berkaitan kewangan, keselamatan, kebajikan serta sokongan komuniti bagi memastikan wanita mendapat sokongan yang sewajarnya dalam sektor tersebut.
KPWKM menegaskan komitmennya untuk terus menggalakkan kerjasama dengan pelbagai pihak dalam memperkasa wanita agar dapat menyumbang secara lebih bermakna kepada pertumbuhan ekonomi negara – The Capital Post