KAJANG, 21 Julai 2026 (The Capital Post) – Ketua Setiausaha Kementerian Komunikasi, Datuk Abdul Halim Hamzah menghadiri Sesi Santai Mesra Perdana Menteri dan Ketua Setiausaha Negara Bersama Warga Perkhidmatan Awam Zon Tengah yang berlangsung di Dewan Sultan Idris Shah, Universiti Islam Selangor (UIS), Bandar Seri Putra, hari ini.
Program itu menghimpunkan kira-kira 700 penjawat awam daripada Kumpulan Pelaksana Zon Tengah sebagai platform interaksi santai antara Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar bersama warga perkhidmatan awam.
Sesi tersebut merupakan inisiatif strategik bagi memperkukuh komunikasi dua hala antara kepimpinan tertinggi perkhidmatan awam dengan penjawat awam, khususnya mereka yang bertugas di peringkat negeri, sekali gus meningkatkan keberkesanan penyampaian perkhidmatan kepada rakyat.
-Advertisement-
Turut hadir Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari; Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam, Tan Sri Wan Ahmad Dahlan Abdul Aziz; serta pegawai-pegawai kanan perkhidmatan awam.
Menurut hantaran di Facebook rasmi Kementerian Komunikasi, program berkenaan mencerminkan komitmen kerajaan dalam memperkukuh hubungan antara kepimpinan tertinggi negara dan penjawat awam bagi memastikan penyampaian perkhidmatan awam yang lebih berkesan. – The Capital Post