KSU Komunikasi Sertai Program Kepimpinan AI Sektor Awam

Estimate Reading Time: < 1 minute

KUALA LUMPUR 2 Ogos 2026, (The Capital Post) – Ketua Setiausaha Kementerian Komunikasi, Datuk Abdul Halim Hamzah menghadiri AI Senior Public Sector Programme yang dianjurkan oleh Kementerian Pendidikan Tinggi dengan kerjasama Amazon Web Services (AWS) dan Universiti Teknologi Malaysia (UTM) sebagai usaha memperkukuh kepimpinan sektor awam dalam memanfaatkan teknologi kecerdasan buatan (AI).

Program tersebut telah dirasmikan oleh Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar dan menghimpunkan Ketua-Ketua Setiausaha Kementerian serta Ketua-Ketua Jabatan Persekutuan bagi meningkatkan kefahaman serta keupayaan kepimpinan dalam mengadaptasi AI ke arah penyampaian perkhidmatan awam yang lebih cekap, inovatif dan berkesan.

Penyertaan Kementerian Komunikasi dalam program berkenaan mencerminkan komitmen berterusan kementerian untuk memperkasakan keupayaan kepimpinan, di samping menyokong agenda transformasi digital sektor awam selaras dengan aspirasi kerajaan mempertingkatkan mutu penyampaian perkhidmatan kepada rakyat.

-Advertisement-

Program itu turut menjadi platform perkongsian ilmu dan amalan terbaik dalam penerapan teknologi AI bagi membantu sektor awam menghadapi cabaran masa hadapan serta mempercepat pelaksanaan inisiatif pendigitalan di pelbagai peringkat pentadbiran.

Penganjuran AI Senior Public Sector Programme diharap dapat memperkukuh kerjasama strategik antara kerajaan, institusi pengajian tinggi dan pemain industri dalam membangunkan ekosistem AI yang mampan serta meningkatkan keupayaan sektor awam negara. – The Capital Post