KSU Perbendaharaan Tinjau Projek Kampung Angkat MADANI

Estimate Reading Time: < 1 minute

SEREMBAN 27 Julai 2026 (The Capital Post) – Ketua Setiausaha Perbendaharaan, YBhg. Tan Sri Johan Mahmood Merican mengadakan lawatan turun padang ke Kampung Labu Hilir dan Kampung Baru Paroi, Negeri Sembilan bagi meninjau perkembangan pelaksanaan projek Kampung Angkat MADANI yang bertujuan memperkasa pembangunan komuniti serta meningkatkan kesejahteraan penduduk setempat.

Lawatan tersebut dimulakan di Kampung Baru Paroi yang merupakan Kampung Angkat MADANI di bawah seliaan Kementerian Pengangkutan, sebelum diteruskan ke Kampung Labu Hilir yang diselaras oleh Jabatan Pengurusan Sisa Pepejal Negara (JPSPN), Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT).

Antara inisiatif pembangunan yang telah dilaksanakan menerusi program berkenaan termasuk kerja menaik taraf masjid, gelanggang futsal, gelanggang bola keranjang, pintu gerbang kampung, dataran masyarakat serta penyediaan kemudahan tandas di kawasan gelanggang futsal bagi memberikan keselesaan lebih baik kepada komuniti setempat.

Lawatan berkenaan bertujuan memastikan pelaksanaan setiap projek berjalan mengikut perancangan, memenuhi keperluan penduduk serta mencapai matlamat yang telah ditetapkan. Sepanjang kunjungan itu, YBhg. Tan Sri Johan turut berkesempatan berinteraksi bersama wakil kementerian, agensi pelaksana dan penduduk bagi mendapatkan pandangan serta maklum balas berkaitan impak inisiatif tersebut.

-Advertisement-

Kampung Angkat MADANI bukan hanya memberi tumpuan kepada pembangunan infrastruktur, malah menjadi medium untuk memperkukuh hubungan masyarakat, menyemai semangat kerjasama dan membina komuniti yang lebih berdaya tahan melalui penglibatan bersama antara kerajaan dan rakyat.

Pendekatan turun padang ini mencerminkan komitmen Kerajaan MADANI dalam memastikan setiap program pembangunan dipantau secara berterusan serta memberi manfaat sebenar kepada masyarakat. Kerjasama erat antara kementerian, agensi kerajaan dan komuniti setempat diyakini mampu menjadikan Kampung Angkat MADANI sebagai pemangkin kepada pembangunan inklusif dan peningkatan kualiti hidup rakyat. – The Capital Post