KUALA LUMPUR, 21 Julai 2026 (The Capital Post) – Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Steven Sim Chee Keong hari ini menyempurnakan Majlis Pelancaran Projek Inovasi Future Forward of Pay Day Now, yang memperkenalkan penyelesaian Earned Wage Access (EWA) bagi meningkatkan kesejahteraan pekerja dan produktiviti majikan.
Pelaksanaan penyelesaian EWA membolehkan pekerja mengakses sebahagian daripada gaji yang telah diperoleh secara lebih fleksibel, sekali gus menyokong kesejahteraan kewangan mereka. Inisiatif itu turut membantu majikan mewujudkan persekitaran kerja yang lebih mampan serta meningkatkan produktiviti tenaga kerja.
Dalam ucapannya, Steven Sim berkata dunia perniagaan kini berdepan cabaran yang semakin kompleks dan sukar diramal, justeru usahawan memerlukan ekosistem yang mampu menyokong pertumbuhan melalui akses kepada pembiayaan, peningkatan produktiviti serta peluang pasaran yang lebih luas.
Beliau berkata, selaras dengan aspirasi Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP), pelbagai inisiatif terus diperkasakan bagi membantu usahawan dan perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) membina daya tahan, meningkatkan daya saing serta bersedia menghadapi perubahan ekonomi global.
-Advertisement-
Usaha tersebut dipacu menerusi Kerangka ABCD KUSKOP yang memberi tumpuan kepada empat aspek utama iaitu Anjakan Produktiviti, Birokrasi Dipermudahkan, Capaian Modal dan Daya Akses Pasaran bagi memperkukuh ekosistem keusahawanan negara.
Menurut hantaran di Facebook rasmi Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi, kementerian itu komited membangunkan ekosistem keusahawanan yang lebih progresif, inklusif dan berdaya tahan supaya usahawan dapat terus berinovasi, berkembang serta menembusi pasaran global. – The Capital Post