Hakim Danish makin berdebar

Estimate Reading Time: < 1 minute

KUALA LUMPUR: Debaran kian terasa buat pelumba muda negara, Hakim Danish Ramli menjelang musim penuh pertamanya dalam saingan Moto3 Kejuaraan Motosikal Dunia (MotoGP) 2026 bermula di Grand Prix (GP) Thailand, minggu depan.

Aksi pembuka tirai di Litar Chang, Buriram itu disifatkan pelumba berusia 18 tahun berkenaan sebagai peluang terbaik untuk memulakan kempen dengan positif, lebih-lebih lagi perlumbaan berlangsung di rantau Asia yang tidak terlalu asing baginya terutama dari sudut cuaca.

Hakim Danish yang baru menamatkan ujian musim sejuk di Litar Jerez, Sepanyol, mengakui persiapannya sedikit terjejas susulan insiden kemalangan di pertengahan sesi ujian minggu lalu sekali gus mengehadkan masa tunggangan bersama jentera MSi Racing Team.

Bagaimanapun, Hakim Danish melihat insiden itu sebagai pengalaman berharga dalam proses pembelajaran di pentas lebih tinggi.

“Bagi pusingan pertama di Thailand, saya jangkakan ia akan berbeza dari segi cuaca dan keadaan litar, dan saya berharap keadaan di sana sedikit sebanyak dapat membantu saya untuk terus menyesuaikan diri dan meningkatkan prestasi,” kata Hakim Danish.

-Advertisement-

Insiden di Jerez menyaksikan jenteranya mengalami kerosakan teruk namun bernasib baik kerana tidak mengalami sebarang kecederaan serius.

“Ujian ini amat penting untuk saya mengumpul maklumat dan mendapatkan keyakinan serta keserasian bersama jentera,” kata Hakim Danish.

Sebagai rekod, Hakim Danish yang menamatkan kempen Red Bull Rookies Cup di kedudukan ketiga keseluruhan musim lalu, bakal bergandingan bersama pelumba Jepun, Ryusei Yamanaka dalam pasukan MSi Racing Team tahun ini.

-BeritaHarian