Lapor sekiranya terdapat kenaikan harga ikan

Estimate Reading Time: < 1 minute

PUTRAJAYA: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna Malaysia (KPDNHEP) tidak menerima aduan berkenaan kenaikan harga ikan di pasaran dan hanya mengetahui melalui laporan media. Menteri, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi, berkata pihaknya menggalakkan orang ramai untuk menyalurkan maklumat sekiranya mendapati mana-mana pihak atau peniaga yang menaikkan harga ikan.

-Advertisement-

Aduan ini bertujuan membolehkan KPDNHEP membuat siasatan termasuk mengenakan tindakan mengikut Seksyen 21 Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan 2011 terhadap peniaga yang menaikkan harga.

“Perubahan angin Monsun Timur Laut yang mengakibatkan laut bergelora ketika ini menyukarkan nelayan mendaratkan ikan sekali gus mempengaruhi bekalan dan harga ikan di pasaran,” katanya selepas menghadiri Majlis Aspirasi Tahun Baharu 2022 Anggota Pentadbiran KPDNHEP, hari ini.

Yang turut hadir, timbalannya, Datuk Rosol Wahid dan Ketua Setiausaha KPDNHEP, Datuk Seri Hasnol Zam Zam Ahmad.

Sebelum ini, media melaporkan harga ikan di Kedah melambung hampir tiga kali ganda, sejak dua minggu lalu.

Ikan termenung atau ikan kembung yang menjadi antara menu harian penduduk didapati dijual antara RM13 hingga RM17 sekilogram berbanding hanya RM5 sekilogram awal bulan lalu.

Alexander berkata, aduan daripada orang ramai adalah penting supaya siasatan dapat dijalankan bagi mengetahui punca kenaikan harga itu berlaku.

-Advertisement-

Aduan boleh dibuat menerusi beberapa saluran yang disediakan pihaknya dan orang ramai boleh memanfaatkannya untuk kepentingan bersama.

Kementerian memahami harga ikan naik di sesetengah tempat itu lazimnya ketika berhadapan musim tengkujuh pada hujung tahun kerana tangkapan berkurangan termasuk edaran bekalan.

“Perkara ini bukannya baharu bagi kita, …ini selalu kita alami dan kita ada pengalaman dalam menangani perkara ini. Kalau ada aduan, kita buat siasatan dan pastikan apa puncanya.

“Sebab itu kita mesti buat siasatan dulu mengapa harga naik. Kalau dia naik kerana tiada unsur pencatutan, naik biasa mungkin kekurangan bekalan itu kita anggap sebagai yang berlaku secara normal,” katanya.

-BH