Pengemis Rohingya mungkin didalangi sindiket

Estimate Reading Time: < 1 minute

ALOR SETAR: Polis Diraja Malaysia (PDRM) tidak menolak kemungkinan wujud sindiket menjadikan kanak-kanak etnik Rohingya sebagai pengemis jalanan yang dikesan di beberapa bandar besar di negara ini.

-Advertisement-

Timbalan Ketua Polis Negara, Datuk Razarudin Husain, berkata pihaknya giat melakukan siasatan dan mengumpul maklumat terperinci berhubung kegiatan yang mungkin didalangi pihak tertentu.

“Kita akan arahkan Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) negeri dan daerah untuk pantau kegiatan ini.

“Tindakan boleh diambil melalui Akta Pengangkutan Jalan (APJ) dan Akta Kesalahan Kecil kerana mengganggu dan mengemis di jalanan,” katanya mengulas kehadiran peminta sedekah dalam kalangan etnik Rohingya di jalanan.

Beliau berkata kebanyakan peminta sedekah jalanan melakukan kegiatan itu di bandar besar seperti Kuala Lumpur dan Negeri Sembilan terutama di kawasan sesak di lampu isyarat.

-Advertisement-

Tegasnya, undang-undang di negara ini bukan saja tertakluk kepada warganegara tetapi tindakan sama boleh diambil terhadap warga asing.

Razarudin berkata demikian ketika ditemui selepas menyaksikan Majlis Serah Terima Tugas Ketua Polis Kedah antara Datuk Kamarul Zaman Mamat kepada Komisioner Wan Hassan Wan Ahmad di IPK Kedah, hari ini.

Wan Hassan sebelum ini adalah Timbalan Pengarah (Intergriti), Jabatan Integriti dan Pematuhan Standard Bukit Aman memulakan tugasnya hari ini, manakala Datuk Kamarul Zaman Mamat bertukar sebagai Ketua Polis Johor.

-BH