Lebih setengah juta remaja terima satu dos vaksin

Estimate Reading Time: < 1 minute

KUALA LUMPUR: Lebih setengah juta remaja berusia dalam lingkungan 12 hingga 17 tahun sudah menerima sekurang-kurangnya satu dos vaksin, setakat semalam.

-Advertisement-

Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin, berkata Sabah antara yang ke hadapan apabila lebih separuh jumlah remaja di negeri sudah mendaftar untuk menerima suntikan vaksin COVID-19 di bawah Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK) Remaja.

“Setakat semalam, lebih daripada setengah juta remaja (12-17 tahun) telah menerima sekurang-kurangnya satu dos di bawah PICK Remaja.

“Sabah mendahului kumpulan dengan 56 peratus remaja yang mendaftar di sekolah dengan menerima sekurang-kurangnya satu dos,” katanya menerusi hantaran yang dimuatnaik di akaun Twitter beliau, pagi ini.

Program vaksinasi terhadap kumpulan remaja berusia 12 hingga 17 tahun di negara ini, khususnya membabitkan pelajar sekolah bermula Isnin lalu.

-Advertisement-

Timbalan Menteri Kesihatan 1, Datuk Dr Noor Azmi Ghazali, berkata langkah itu sebagai persediaan terutama bagi sekolah di kawasan luar bandar supaya 80 peratus kadar vaksinasi remaja dapat diselesaikan sebelum sesi persekolahan 2022.

Menurut Dr Noor Azmi yang juga Pengerusi Pasukan Bertindak Imunisasi COVID-19 Remaja (CITF-A), bagi sekolah yang mempunyai lebih 1,000 pelajar, proses vaksinasi akan dilaksanakan secara terus di premis masing-masing.

Sekolah yang mempunyai kurang daripada 1,000 pelajar, akan disatukan dengan empat atau lima sekolah lain, bagi memastikan program vaksinasi itu berjalan lancar.

Justeru, CITF-A menyasarkan 60 peratus remaja berusia 12 hingga 17 tahun mendapat sekurang-kurangnya satu dos vaksin pada November ini dan 80 peratus remaja mendapat dos lengkap sebelum sekolah dibuka pada sesi 2022. -BH