KLANG 21 Julai 2026 (The Capital Post) – Seorang lelaki warga asing ditahan polis selepas dipercayai melakukan perbuatan khianat dan kelucahan melampau dalam satu kejadian di kawasan perumahan Taman Andalas Jaya di sini pada pagi Isnin.
Menurut kenyataan Ketua Polis Daerah Klang Selatan, kejadian berlaku kira-kira jam 7 pagi pada 20 Julai apabila orang awam melihat seorang lelaki dalam keadaan bogel berada di atas bumbung sebuah rumah sebelum memaklumkan kepada pihak berkuasa.
Dengan bantuan anggota Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), lelaki berusia 37 tahun itu berjaya dibawa turun dalam keadaan selamat sebelum ditahan bagi membantu siasatan. Pemeriksaan lanjut mendapati suspek merupakan warganegara asing yang tidak memiliki dokumen pengenalan diri atau dokumen perjalanan yang sah.
-Advertisement-
Susulan penahanan tersebut, Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Klang Selatan telah membuka satu kertas siasatan mengikut Seksyen 427 Kanun Keseksaan kerana melakukan khianat, Seksyen 377D Kanun Keseksaan berkaitan perbuatan kelucahan melampau serta Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 kerana tidak memiliki dokumen perjalanan yang sah.
Jika disabitkan kesalahan, suspek boleh dikenakan hukuman sebagaimana yang diperuntukkan di bawah undang-undang berkenaan. Polis memaklumkan siasatan lanjut masih diteruskan bagi melengkapkan proses perundangan.
Dalam pada itu, orang ramai dinasihatkan agar tidak menyebarkan rakaman video kejadian di media sosial bagi mengelakkan penyebaran kandungan tidak sesuai serta mengurangkan kegusaran dalam kalangan masyarakat setempat. – The Capital Post