SEPANG 21 Julai 2026 (The Capital Post) – AirBorneo mencipta satu lagi detik penting dalam industri penerbangan negara apabila melancarkan penerbangan sulung bagi laluan Kuching–Kuala Lumpur menerusi satu majlis rasmi yang berlangsung di Terminal 1, Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA).
Majlis tersebut dihadiri oleh Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, YB Dato Sri Tiong King Sing, manakala perasmian disempurnakan oleh Premier Sarawak, YAB Datuk Patinggi Tan Sri (Dr.) Abang Haji Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Haji Openg.
Pelancaran laluan baharu itu dilihat sebagai langkah strategik dalam memperkukuh rangkaian pengangkutan udara antara Sarawak dan Semenanjung Malaysia, selain meningkatkan akses perjalanan bagi orang ramai serta menyokong pembangunan ekonomi dan sektor pelancongan.
Inisiatif berkenaan turut mencerminkan komitmen berterusan Kerajaan Sarawak dalam memperluaskan kesalinghubungan udara yang diyakini mampu merangsang aktiviti perdagangan, pelaburan dan pertumbuhan ekonomi di peringkat domestik serta serantau.
-Advertisement-
Pengoperasian laluan Kuching–Kuala Lumpur oleh AirBorneo juga dijangka menjadi pemangkin kepada usaha memperkukuh hubungan antara kedua-dua wilayah, di samping menyokong aspirasi negara dalam memperkasakan industri pelancongan menjelang Kempen Melawat Malaysia 2026 (VM2026).
Turut hadir memeriahkan majlis ialah Timbalan Perdana Menteri, YAB Datuk Amar Haji Fadillah Haji Yusof, bersama barisan jemaah Menteri Persekutuan dan Kerajaan Sarawak yang menzahirkan sokongan terhadap perkembangan sektor penerbangan negara. – The Capital Post