Lelaki cuba pecah mesin deposit tunai ditahan

Estimate Reading Time: < 1 minute

BALIK PULAU: Polis menahan seorang lelaki yang cuba memecahkan mesin deposit tunai (CDM) di sebuah bank di Lintang Bukit Penara di sini, malam tadi.

-Advertisement-

Suspek, 39, dari Georgetown dikatakan menaiki bas sejauh 22 kilometer (km) bagi melakukan jenayah berkenaan.

Ketua Polis Daerah Barat Daya, Superintendan Kamarul Rizal Jenal, berkata pihaknya menerima panggilan daripada penolong pengurus bank yang menyedari kejadian berkenaan selepas terdengar sistem penggera keselamatan berbunyi kira-kira jam 9.40 malam.

“Anggota polis yang bergegas ke lokasi kemudian berjaya menahan suspek.

“Ketika kejadian, suspek menggunakan penyerap hentakan ‘absober’ kereta bagi memecahkan mesin berkenaan namun tidak berjaya.

“Wang tidak berjaya dilarikan, hanya bahagian luar mesin itu mengalami kerosakan,” katanya hari ini.

-Advertisement-

Kamarul Rizal berkata, siasatan awal mendapati suspek menaiki bas seorang diri dari Georgetown ke Balik Pulau bagi melakukan jenayah itu.

Katanya, suspek yang masih bujang didapati mempunyai empat rekod lampau berkait dadah.

“Suspek juga berada di bawah pengaruh dadah dan dipercayai melakukan kegiatan itu akibat tekanan hidup.

“Siasatan lanjut berhubung kejadian masih dijalankan,” katanya lagi.

Kes disiasat mengikut Seksyen 380 Kanun Keseksaan dan 427 akta yang sama.-BH