Capaian internet bergantung keadaan, teknikal

Estimate Reading Time: 2 minutes

KUALA LUMPUR: Tempoh penyelesaian masalah capaian internet dihadapi penduduk bergantung pelbagai keadaan termasuk bentuk muka bumi di kawasan masing-masing.

-Advertisement-

Jabatan Komunikasi Korporat Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) dalam kenyataan, berkata kerajaan sedaya upaya menyelesaikan masalah berkenaan, namun terdapat keperluan teknikal yang perlu dipenuhi.

“Sebagai contoh, masalah capaian internet dihadapi penduduk Kampung Watt Paya Mat Inson di Pendang dan Bukit Selambau di Kedah berupaya diselesaikan dalam tempoh yang singkat.

“Sementara di Ulu Medamit, Limbang dan Kampung Ranggom, Keningau pula, ia memakan sedikit masa.

“Keadaan ini disebabkan oleh pelbagai situasi yang berlaku di lapangan seperti keadaan bentuk muka bumi yang tidak dapat dicapai melalui frekuensi,” menurut kenyataan itu.

Kenyataan itu mengulas mengenai isu capaian tidak memuaskan serta perkhidmatan syarikat telekomunikasi yang tidak menjawab aduan pelanggan.

Menurut kenyataan itu, bagi kawasan yang mempunyai liputan, tindakan seperti pengoptimuman rangkaian boleh dilaksanakan sebagai jalan penyelesaian sementara.

Bagaimanapun, kawasan yang tidak mempunyai liputan, usaha untuk menyelesaikan masalah berkenaan akan memakan masa seperti pembinaan menara komunikasi.

-Advertisement-

Katanya, dalam konteks itu, aspek berkaitan Kebenaran Merancang (KM) seperti penyediaan rizab kemudahan komunikasi atau ruang khas, kebenaran menggunakan struktur pelbagai fungsi untuk mengoptimumkan penggunaan tanah dan penyelarasan perundangan, garis panduan dan kod teknikal perlu diberikan perhatian terlebih dahulu.

“Oleh itu, sementara menunggu kerja pembinaan dijalankan, masyarakat setempat yang menghadapi kesukaran mendapatkan liputan internet yang baik adalah diseru untuk memanfaatkan kemudahan yang disediakan di 873 Pusat Internet Komuniti (PIK) di seluruh negara,” katanya.

Katanya, PIK itu berperanan sebagai sebuah balai raya digital, serta mampu merapatkan jurang teknologi antara masyarakat terutama di kawasan luar bandar selain membimbing komuniti melengkapkan diri dengan kemahiran digital seperti perniagaan dalam talian atau e-dagang.

Dalam pada itu, Kementerian Komunikasi dan Multimedia Malaysia (KKMM) menerusi SKMM sudah melaksanakan pelan Jalinan Digital Negara (JENDELA) bermula pada September tahun lalu dalam usahanya mempertingkat kesalinghubungan di seluruh negara.

Ia sekali gus bertujuan memberi liputan lebih meluas dan pengalaman kualiti jalur lebar lebih baik kepada rakyat, sebagai persiapan untuk beralih kepada teknologi 5G.

Menerusi pelaksanaan pelan JENDELA itu, pelbagai inisiatif diambil antaranya membina menara baharu, kerja naik taraf menara sedia ada serta mengoptimumkan rangkaian yang dijangka memberi impak positif kepada kelajuan dan liputan jalur lebar.-BH