Lembaga Disiplin PKR tolak permohonan Zuraida tangguh pendengaran

Estimate Reading Time: < 1 minute

PETALING JAYA: Lembaga Disiplin PKR menolak permohonan Naib Presidennya, Zuraida Kamaruddin untuk menangguhkan sesi pendengaran kesnya, selepas menerima 2 surat tindakan undang-undang daripada 2 pemimpin parti itu.

-Advertisement-

Pengerusinya, Ahmad Kasim berkata, pihaknya memutuskan untuk meneruskan sesi pendengaran menteri perumahan dan kerajaan tempatan itu kerana saman itu ialah kes sivil, bukannya kes jenayah.

“Sebanyak 3 tuduhan disiplin dikenakan kepada Zuraidah, manakala kes yang melibatkan saman sivil ini hanya satu kes saja.

“Lembaga Disiplin memberi masa kepada Zuraida hingga 20 Feb ini memandangkan kesibukan Zuraida sebagai menteri Kabinet,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Lembaga Disiplin PKR dilapor memulakan siasatan ke atas pelbagai aduan salah laku membabitkan ahli dan pemimpin parti itu, termasuk Zuraida yang dipercayai berkait insiden ketika dan selepas Kongres Nasional PKR di Melaka 2 bulan lalu.

Zuraida sebelum ini didakwa menghina ahli parti itu dan mendedahkan butiran perbualannya dengan Anwar ketika berucap dalam satu majlis makan malam pada 8 Dis lalu.

-Advertisement-

Beliau mendakwa Anwar cuba meyakinkannya salah seorang lelaki dalam video seks sejenis yang tersebar Jun tahun lalu ialah Timbalan Presiden PKR, Azmin Ali.

Ketua Wanita Pakatan Harapan itu turut mendakwa penilaian Anwar dilihat terjejas akibat pengaruh “budak pampers” dan “gengster” dalam parti yang merujuk Pengarah Komunikasi PKR, Fahmi Fadzil serta Ketua PKR Perak, Farhash Wafa Salvador Rizal Mubarak.

Pada 5 Feb lalu, Setiausaha Politik Zuraida, Nor Hizwan Ahmad dilaporkan berkata, Zuraida menghantar surat kepada Lembaga Displin untuk menangguhkan “tindakan lanjut” selepas menerima 2 surat saman daripada Farhash dan Setiausaha Agung PKR, Saifuddin Nasution.

Saifuddin menghantar surat tuntutan kepada Zuraida kerana memfitnahnya menerima “jutaan ringgit” daripada PAS dan sebuah tabung amanah Kelantan untuk orang miskin ketika beliau menjadi pengurus Tabung Amanah Tok Kenali di Kelantan.

Katanya, Zuraida turut menyerahkan permohonan bercuti daripada menjalankan tugas naib presiden PKR sehingga siasatan Lembaga Disiplin terhadapnya selesai. -FMT