Lontaran Ziyad hadiahkan emas buat negara di Solo

Estimate Reading Time: < 1 minute

KUALA LUMPUR: Jaguh lontar peluru para negara, Muhammad Ziyad Zolkefli menambah koleksi pingat emas keempatnya di temasya Sukan Para ASEAN edisi Solo, Indonesia, sebentar tadi.

-Advertisement-

Ziyad yang menyertai acara lontar peluru F20 menjelmakan kilauan emas dengan lontaran sejauh 16.92 meter (m) sekali gus menjelmakan pingat emas sulung buat kontinjen negara di temasya edisi ke-11 itu.

Atlet berusia 32 tahun itu sama sekali tidak menjangka dapat menghadiahkan emas sulung Malaysia itu yang baginya satu penghargaan besar buat dirinya selepas 12 tahun mewakili negara dan kemenangan itu baginya amat bermakna.

Katanya, penyertaannya kali ini penuh dengan cabaran dan pengorbanan apatah lagi, isterinya, Zafirah Md Nasir hanya ‘menunggu masa’ untuk melahirkan anak ketiga mereka.

“Saya tak jangka ini adalah pingat emas pertama buat negara,” kata Ziyad yang pernah meraih emas di Sukan Paralimpik Rio 2016.

“Saya berbangga dengan diri saya sendiri kerana saya ingatkan ada rakan-rakan lain yang sudah meraih emas pagi tadi.

-Advertisement-

“Namun apabila saya dengar, ini adalah emas pertama dan ini adalah emas pertama dalam hidup saya (sulung buat kontinjen), tentunya ia satu kebanggaan kerana dapat mengharumkan nama negara.

“Pingat emas ini, saya tujukan kepada isteri saya kerana dia hanya menunggu masa untuk melahirkan anak. Saya korbankan diri saya untuk ke Sukan Para ASEAN ini dan cuba dapatkan yang terbaik. Ia juga untuk jurulatih, kawan-kawan yang menyokong saya dan seluruh warga Malaysia,” katanya.

Pingat perak dimenangi rakan senegara, Mohamad Aliff Mohamad dengan lontaran sejauh 13.46m manakala gangsa dimiliki atlet Thailand, Boonkong, 13.29m.

Sebelum ini, Ziyad meraih emas secara berturut-turut di Naypidaw 2014, Singapura 2015 dan Kuala Lumpur 2017.

-BH