PUTRAJAYA 5 Ogos 2026 (The Capital Post) – Malaysia dan Australia terus memperkukuh hubungan strategik dalam sektor pendidikan tinggi menerusi perbincangan yang memberi fokus kepada pengembangan kerjasama antarabangsa, pembangunan pelajar serta pemerkasaan ekosistem pendidikan tinggi kedua-dua negara.
Perkara tersebut dibincangkan dalam kunjungan hormat Assistant Minister for International Education dan Assistant Minister for Citizenship, Customs and Multicultural Affairs Australia, TYT Julian Hill MP kepada Timbalan Menteri Pendidikan Tinggi, YB Adam Adli Abd Halim di Putrajaya hari ini.
Pertemuan itu memberi tumpuan kepada usaha memperkukuh hubungan dua hala dalam bidang pendidikan tinggi selaras dengan aspirasi Rancangan Pendidikan Tinggi Malaysia (RPTM) 2026–2035, termasuk memperluaskan peluang kerjasama antara institusi pengajian tinggi di Malaysia dan Australia.
Antara agenda yang dibincangkan ialah dasar serta inisiatif kedua-dua negara dalam pengurusan pelajar antarabangsa, di samping memperkasa pelaksanaan Transnational Education (TNE) bagi meningkatkan mobiliti akademik dan memperluaskan jaringan pendidikan tinggi di peringkat global.
-Advertisement-
Kedua-dua pihak turut menyentuh cadangan mengadakan Mesyuarat Kerja Bersama susulan pemeteraian Memorandum Persefahaman (MoU) pada tahun 2024. Inisiatif tersebut dijangka menjadi platform untuk merangka program baharu, memperkukuh kerjasama strategik serta memperluaskan peluang kolaborasi dalam pelbagai bidang pendidikan tinggi.
Kerjasama berterusan antara Malaysia dan Australia diyakini mampu membuka lebih banyak peluang kepada pelajar kedua-dua negara untuk menikmati pengalaman pembelajaran bertaraf antarabangsa, selain memperkukuh hubungan akademik dan penyelidikan antara institusi pendidikan tinggi.
Turut hadir dalam pertemuan itu ialah Pengarah Akademi Kepimpinan Pendidikan Tinggi (AKEPT), Prof. Dr. Harshita Aini Haroon; Ketua Pegawai Eksekutif Education Malaysia Global Services (EMGS), Encik Novie Tajuddin; Setiausaha Bahagian, Bahagian Hubungan Antarabangsa, Kementerian Pendidikan Tinggi, YBhg. Datin Noorazah Omar; Pengarah Bahagian Pengantarabangsaan Pendidikan Tinggi, Jabatan Pendidikan Tinggi (JPT), Dr. Faiezi Zuber serta wakil daripada Jabatan Pendidikan Politeknik dan Kolej Komuniti (JPPKK) dan Agensi Kelayakan Malaysia (MQA) – The Capital Post