Malaysia-Denmark Teroka Semula Kerjasama Sains, Teknologi dan Inovasi

Estimate Reading Time: < 1 minute

PUTRAJAYA 29 September 2026 (The Capital Post) – Malaysia dan Denmark meneroka peluang untuk menghidupkan semula serta memperkukuh kerjasama dua hala dalam bidang sains, teknologi dan inovasi (STI) menerusi pertemuan antara Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Datuk Chang Lih Kang dengan Duta Besar Denmark ke Malaysia, Kirstine Vangkilde Berner, semalam.

Pertemuan berkenaan berlangsung menerusi kunjungan hormat Kirstine terhadap Chang bagi membincangkan potensi kerjasama dalam bidang STI yang mempunyai kepentingan bersama kepada kedua-dua negara.

Kerjasama Malaysia-Denmark dalam bidang STI sebelum ini pernah berlangsung antara 1994 hingga 2010 menerusi kerangka Danish Cooperation for Environment and Development (DANCED) dan Danish International Development Assistance (DANIDA).

Kerjasama tersebut menyumbang kepada pembangunan kapasiti serta perkongsian kepakaran dalam pelbagai bidang di Malaysia sebelum tidak diteruskan susulan perubahan status Malaysia sebagai sebuah negara berpendapatan tinggi.

-Advertisement-

Dalam pertemuan terbaharu itu, kedua-dua pihak turut mengenal pasti ruang kerjasama dalam beberapa bidang strategik dan berimpak tinggi termasuk bioteknologi, teknologi termaju, semikonduktor, teknologi nuklear, angkasa dan tenaga bersih.

Selain bidang teknologi, Malaysia dan Denmark turut melihat peluang memperkukuh jaringan antara institusi penyelidikan, pemain industri serta ekosistem inovasi bagi menggalakkan pertukaran kepakaran, pengetahuan dan pengalaman.

Kerjasama yang diteroka itu dilihat berpotensi memanfaatkan kekuatan serta kepakaran kedua-dua negara dalam membangunkan bidang STI berteraskan kepentingan bersama – The Capital Post