Kuala Lumpur 9 Ogos 2026 (The Capital Post) – Kerjasama pendidikan antara Malaysia dan Republik Korea Selatan terus diperkasakan menerusi penganjuran Program Teknologi Dron yang menjadi platform memperluas jaringan antarabangsa dalam bidang Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) serta teknologi masa hadapan.
Program yang berlangsung di Kolej Vokasional Setapak pada 7 Ogos 2026 itu dianjurkan oleh Kolej Vokasional Setapak dengan kerjasama Bahagian Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (BPLTV), Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) serta Seoul Metropolitan Office of Education (SMEO), Republik Korea Selatan.
Majlis tersebut disempurnakan oleh Menteri Pendidikan, YB Fadhlina Sidek, dan turut dihadiri Duta Republik Korea Selatan ke Malaysia, His Excellency Yeo Seung-Bae, Timbalan Ketua Pengarah Pendidikan Malaysia Sektor Operasi Sekolah, Dato’ Zainal Bin Abas, Pengarah BPLTV, Ts. Zulkernai Bin Fauzi, serta Pengarah Pendidikan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Tuan Megat Affandi Bin Datuk Wira Haji Ismail.
Program berkenaan menghimpunkan pelajar Kolej Vokasional Setapak bersama pelajar Seoul Digital Content High School menerusi pelbagai aktiviti perkongsian pengetahuan, pembelajaran praktikal dan pertukaran pengalaman berkaitan teknologi dron.
Selain memberi pendedahan terhadap kemahiran teknikal, inisiatif ini turut menggalakkan pembangunan kreativiti, inovasi, kerja berpasukan serta pemahaman silang budaya dalam kalangan pelajar kedua-dua negara.
-Advertisement-
Kerjasama strategik Malaysia–Republik Korea Selatan ini turut membuka ruang kepada penerokaan bidang berimpak tinggi termasuk kecerdasan buatan (AI), robotik, kandungan digital dan teknologi baharu yang semakin berkembang dalam landskap industri global.
Usaha berkenaan selari dengan aspirasi melahirkan graduan TVET yang berkemahiran tinggi, kompetitif dan bersedia menghadapi tuntutan Revolusi Industri 4.0 serta transformasi digital masa kini.
Jalinan pendidikan antarabangsa ini diharapkan terus berkembang dalam membentuk generasi pencipta, inovator dan peneraju teknologi yang mampu menyumbang kepada kemajuan negara pada masa hadapan. – The Capital Post