PAKISTAN 21 Ogos 2026 (The Capital Post) – Malaysia dan Pakistan bersetuju untuk memperkukuh kerjasama dalam bidang keselamatan dan penguatkuasaan menerusi pertemuan dua hala antara Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail dan Federal Minister for Interior and Narcotics Control of Pakistan, H.E. Syed Mohsin Raza Naqvi di Islamabad.
Pertemuan tersebut merupakan sebahagian daripada agenda lawatan kerja rasmi Menteri Dalam Negeri ke Pakistan. Dalam pertemuan itu, Datuk Seri Saifuddin turut menyampaikan salam daripada Perdana Menteri, Dato’ Seri Anwar Ibrahim serta merakamkan penghargaan terhadap layanan dan jemputan pihak Pakistan sepanjang lawatan rasmi berkenaan.
Kedua-dua pihak turut bertukar pandangan mengenai peranan Pakistan dalam memudah cara dialog antarabangsa bagi menyokong keamanan dan kestabilan serantau. Malaysia pada masa sama berkongsi pengalaman dalam membantu proses rundingan bagi menyelesaikan pertikaian sempadan antara Thailand dan Kemboja.
Pertemuan berkenaan turut menekankan kepentingan memperkukuh hubungan antara institusi keselamatan dan penguatkuasaan kedua-dua negara, khususnya dalam menghadapi ancaman keselamatan serta cabaran geopolitik yang semakin kompleks.
Antara bidang yang dibincangkan termasuk kerjasama kepolisan, perkongsian risikan, pencegahan keganasan, pembanterasan dadah dan jenayah rentas sempadan, keselamatan siber serta isu imigresen dan pemerdagangan orang.
-Advertisement-
Turut diberi perhatian ialah pengurusan banduan dan penguatkuasaan maritim sebagai sebahagian daripada usaha memperluas bentuk kerjasama keselamatan yang lebih menyeluruh antara Malaysia dan Pakistan.
Dalam perkembangan penting hasil pertemuan tersebut, kedua-dua negara secara prinsip bersetuju untuk menubuhkan sebuah Working Group antara kementerian masing-masing. Mekanisme itu akan berperanan menyelaras tindakan susulan serta memastikan bidang kerjasama yang dipersetujui dapat dilaksanakan secara lebih sistematik dan berkesan.
Hubungan Malaysia-Pakistan yang berasaskan persahabatan, saling menghormati dan kepercayaan dilihat menjadi asas penting untuk memperluas kerjasama strategik, khususnya dalam mendepani ancaman rentas sempadan dan cabaran keselamatan baharu.
Kerjasama yang diperkukuh antara institusi keselamatan dan penguatkuasaan kedua-dua negara diharap dapat terus menyumbang kepada usaha memelihara keamanan, kestabilan dan kesejahteraan Malaysia, Pakistan serta rantau secara keseluruhannya. – The Capital Post