GETING SEPAH 20 Ogos 2026 (The Capital Post) – Kerajaan hari ini melancarkan Projek Pelebaran Lebuhraya Kuala Lumpur-Karak (KLK) serta pembinaan Terowong Ketiga Genting Sempah dengan nilai keseluruhan kira-kira RM2.1 bilion, sebagai langkah strategik mempertingkatkan hubungan antara Lembah Klang dan Pantai Timur Semenanjung.
Majlis pecah tanah dan pelancaran projek tersebut disempurnakan oleh Menteri Kerja Raya, YB Dato’ Sri Alexander Nanta Linggi, di tapak portal Terowong Ketiga Arah Timur, Genting Sempah. Turut hadir ialah barisan kepimpinan Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM), Kementerian Kerja Raya (KKR) serta wakil industri berkaitan.
Projek berkenaan merangkumi kerja pelebaran sepanjang 45.3 kilometer dari Plaza Tol Gombak di KM19.2 hingga Persimpangan Mempaga, Bentong di KM64.5. Laluan sedia ada akan dinaik taraf daripada dua dan tiga lorong kepada tiga dan empat lorong bagi setiap arah bagi meningkatkan kapasiti serta kelancaran trafik.
Selain kerja pelebaran, projek itu turut melibatkan pembinaan Terowong Ketiga Genting Sempah sepanjang 999 meter yang akan menggunakan kaedah New Austrian Tunnelling Method (NATM). Keseluruhan projek disasarkan untuk disiapkan pada tahun 2030.
Keperluan terhadap projek tersebut semakin penting susulan peningkatan ketara jumlah trafik di Lebuhraya KLK. Lebih 135,000 kenderaan kini menggunakan laluan berkenaan setiap hari, berbanding kira-kira 41,000 kenderaan sehari pada 1997, menunjukkan peningkatan lebih tiga kali ganda dalam tempoh berkenaan.
-Advertisement-
Peningkatan kapasiti lebuh raya dijangka membantu memenuhi keperluan trafik pada masa hadapan, selain menyokong aktiviti ekonomi termasuk sektor logistik, perdagangan dan pelancongan antara wilayah.
Menurut Menteri Kerja Raya, projek tersebut dilaksanakan sejajar dengan aspirasi Malaysia MADANI serta inisiatif MYJalan. Beliau turut menekankan kepentingan pematuhan terhadap spesifikasi, kos dan piawaian keselamatan yang ditetapkan, selain menggesa projek disiapkan lebih awal daripada jadual tanpa sebarang lanjutan masa.
LLM sebagai badan kawal selia bersama AFA Group selaku pihak konsesi turut menyatakan komitmen untuk bekerjasama dalam memastikan setiap peringkat pembinaan dilaksanakan mengikut standard kualiti dan tadbir urus yang tinggi demi menyediakan perjalanan yang lebih lancar, selamat dan selesa kepada pengguna lebuh raya. – The Capital Post