PUTRAJAYA 24 Jun 2026 (The Capital Post) – Perbincangan bersama Jawatankuasa Penasihat Dasar kepada Perdana Menteri (PMAC) diteruskan bagi meneliti beberapa kertas cadangan strategik berkaitan krisis tenaga global yang akan dibentangkan dalam Mesyuarat Majlis Tindakan Ekonomi Negara (MTEN) akan datang.
Sesi tersebut memberi tumpuan kepada usaha memperkukuh kesiapsiagaan sektor pendidikan negara dalam menghadapi cabaran berkaitan tenaga, operasi serta kesinambungan penyampaian perkhidmatan pendidikan pada masa hadapan.
Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) membentangkan kertas cadangan berkaitan pengukuhan keupayaan institusi pengajian tinggi bagi memastikan kesinambungan pembelajaran dapat diteruskan melalui pendekatan yang lebih inklusif, fleksibel dan berdaya tahan, khususnya dalam situasi krisis berpanjangan.
Sementara itu, Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) turut membentangkan analisis berhubung cabaran peningkatan kos operasi institusi pendidikan, kebergantungan kepada sumber tenaga serta langkah strategik bagi memastikan kelestarian operasi pendidikan yang lebih cekap dan mampan.
-Advertisement-
Perbincangan tersebut turut meneliti keperluan mempercepatkan transformasi digital dalam sektor pendidikan, di samping meningkatkan kecekapan tenaga serta memperkukuh tahap kesiapsiagaan institusi pendidikan dalam menghadapi cabaran masa depan yang semakin kompleks.
Hasil perbincangan ini akan dijadikan input penting kepada kerajaan dalam merangka dasar yang lebih menyeluruh bagi memastikan sistem pendidikan negara kekal berdaya tahan, mampan dan relevan dengan perubahan global semasa. – The Capital Post