KKR Pantau Kemajuan Projek Penyuraian Trafik Juru–Sungai Dua

Estimate Reading Time: < 1 minute

PULAU PINANG 28 Julai 2026, (The Capital Post) – Kementerian Kerja Raya (KKR) terus memperkukuh pemantauan pelaksanaan Projek Penyuraian Trafik di antara Plaza Tol Juru dan Plaza Tol Sungai Dua (PTJSD) menerusi Mesyuarat Jawatankuasa Pemandu Projek Khas (Task Force) Bilangan 7 Tahun 2026 yang diadakan hari ini.

Mesyuarat tersebut dipengerusikan oleh Timbalan Ketua Setiausaha (Dasar dan Pembangunan) KKR, Datuk Dr. Khairus Masnan Abdul Khalid, bagi menyelaras pelaksanaan projek selain membincangkan perkembangan semasa serta isu-isu yang memerlukan tindakan segera.

Turut hadir ialah Ketua Pengarah Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM), Ir. Mohd Hadzmir Yusoff; Pengarah Urusan PLUS Malaysia Berhad, Datuk Nik Airina Nik Jaafar; Timbalan Setiausaha Kerajaan Negeri Pulau Pinang (Pembangunan), Dato’ Mohamed Abdul Rahman; serta pegawai kanan daripada kementerian, agensi berkaitan dan wakil Kerajaan Negeri Pulau Pinang.

Mesyuarat turut meneliti kemajuan pelaksanaan projek yang merangkumi kerja pembinaan, pengalihan utiliti, pengurusan tanah, perolehan serta aspek pembiayaan. Sehingga 26 Julai 2026, Pakej 1 projek merekodkan kemajuan fizikal sebenar sebanyak 32.97 peratus berbanding sasaran 34.87 peratus.

-Advertisement-

Bagi memastikan pelaksanaan projek kembali mengikut jadual yang ditetapkan, PLUS Malaysia Berhad telah melaksanakan beberapa langkah mitigasi termasuk mempercepatkan kerja pembinaan secara serentak di beberapa lokasi, menjalankan kerja pada hujung minggu serta mengoptimumkan penggunaan jentera berkapasiti tinggi bagi meningkatkan produktiviti di tapak.

KKR, LLM, PLUS Malaysia Berhad dan semua agensi berkaitan akan terus memperkukuh kerjasama serta pemantauan berterusan bagi memastikan projek PTJSD dapat disiapkan dengan cekap dan berkesan, sekali gus meningkatkan kelancaran aliran trafik serta keselesaan pengguna di koridor utama Pulau Pinang.

Usaha tersebut selaras dengan aspirasi Malaysia MADANI dan inisiatif MYJalan yang memberi penekanan kepada pembangunan infrastruktur strategik berkualiti tinggi bagi memperkukuh kesalinghubungan, merangsang pertumbuhan ekonomi serta meningkatkan kesejahteraan rakyat. – The Capital Post