UNITED KINGDOM 23 Julai 2026 (The Capital Post) – Kementerian Pertahanan memeterai Surat Setuju Terima (SST) bersama MBDA France bagi perolehan sistem peluru berpandu permukaan ke udara (Surface-to-Air Missile – SAM) untuk melengkapkan keupayaan persenjataan Littoral Combat Ship (LCS) Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM).
Majlis pemeteraian berlangsung sempena Farnborough International Airshow (FIA) 2026 dan disempurnakan oleh Ketua Setiausaha Kementerian Pertahanan, YBhg. Datuk Lokman Hakim Ali.
Perolehan sistem pertahanan udara itu merupakan komponen penting dalam melengkapkan projek LCS, sekali gus memastikan kapal perang tersebut memiliki keupayaan mempertahankan ruang udara yang memenuhi keperluan operasi TLDM.
Menurut Kementerian Pertahanan, kontrak tersebut akan memperkukuh kesiapsiagaan armada LCS dalam menghadapi pelbagai bentuk ancaman maritim, selain meningkatkan keupayaan operasi Angkatan Tentera Malaysia dalam menjaga keselamatan perairan negara.
-Advertisement-
Pemeteraian SST berkenaan turut mencerminkan komitmen berterusan kerajaan untuk memperkukuh aset pertahanan strategik negara melalui pemodenan keupayaan ketenteraan selaras dengan perkembangan landskap keselamatan dan geopolitik serantau serta global.
Langkah ini dilihat sebagai sebahagian daripada usaha berterusan kerajaan dalam memastikan pertahanan maritim Malaysia kekal berdaya tahan dan mampu melindungi kedaulatan negara daripada sebarang ancaman pada masa hadapan. – The Capital Post