KAZAN 18 Jun 2026 (The Capital Post) – Hubungan Malaysia dan Persekutuan Rusia terus diperkukuh menerusi pertemuan rasmi antara Perdana Menteri, YAB Dato’ Seri Anwar Ibrahim dan Presiden Rusia, Vladimir Putin yang memberi tumpuan kepada kerjasama strategik dalam pelbagai sektor utama termasuk tenaga, teknologi dan perdagangan dua hala.
Pertemuan yang berlangsung di Kazan itu dimulakan dengan penyampaian salam kepada Yang di-Pertuan Agong serta penghargaan terhadap layanan mesra dan hubungan diplomatik yang terjalin baik antara kedua-dua negara.
Dalam perbincangan tersebut, kedua-dua pemimpin meneliti potensi pengukuhan kerjasama dalam sektor tenaga yang merupakan antara bidang strategik penting, termasuk pengiktirafan terhadap peranan Rusia dalam memberikan kerjasama jangka panjang berkaitan bekalan minyak dan tenaga kepada Malaysia.
Selain itu, pertemuan turut menyentuh peluasan kerjasama dalam bidang teknologi baharu seperti keselamatan siber, ekonomi digital, kecerdasan buatan (AI), pertanian moden serta industri farmaseutikal yang dilihat mempunyai potensi besar untuk diteroka bersama.
-Advertisement-
Kedua-dua pihak juga membincangkan langkah memudah cara pergerakan rakyat melalui cadangan pemansuhan visa, selain meneroka mekanisme baharu bagi memperluas perdagangan dan pelaburan dua hala menggunakan mata wang tempatan iaitu Ringgit dan Ruble.
Perdana Menteri turut menzahirkan penghargaan terhadap pendirian Presiden Vladimir Putin yang konsisten dan berprinsip dalam menyuarakan pandangan berkaitan isu Gaza dan Iran di peringkat antarabangsa.
Kerajaan MADANI menegaskan komitmennya untuk terus memperkukuh keterjaminan tenaga negara melalui kerjasama antarabangsa yang strategik, bagi memastikan kestabilan bekalan, kesinambungan serta daya tahan ekonomi demi kesejahteraan rakyat Malaysia. – The Capital Post