KOTA KINABALU 5 Ogos 2026 (The Capital Post) – Malaysia dan Singapura terus memperkukuh hubungan pertahanan dua hala menerusi penganjuran Defence Professionals Programme (DPP) yang berlangsung sempena Mesyuarat Ke-63 Five Power Defence Arrangements (FPDA) Consultative Council (FCC) di Mari-Mari Cultural Village, Sabah.
Program tersebut disertai oleh Ketua Setiausaha Kementerian Pertahanan Malaysia bersama Permanent Secretary (Defence Development), Kementerian Pertahanan Singapura sebagai sebahagian daripada usaha memperkukuh kerjasama strategik dan meningkatkan hubungan profesional antara pegawai pertahanan kedua-dua negara.
DPP berfungsi sebagai platform diplomasi pertahanan yang menggalakkan interaksi bermakna, membina keyakinan strategik serta memperkukuh persefahaman dalam kalangan pegawai kanan pertahanan Malaysia dan Singapura.
Sepanjang program berlangsung, para peserta turut didedahkan kepada keunikan warisan budaya masyarakat pelbagai etnik di Sabah, sekali gus memperkenalkan identiti budaya Malaysia kepada delegasi luar serta memperkukuh pemahaman rentas budaya melalui nilai saling menghormati dan penghargaan terhadap kepelbagaian.
-Advertisement-
Penganjuran program ini selaras dengan objektif DPP dalam memperkukuh hubungan pertahanan yang berteraskan kepercayaan, kerjasama dan kepentingan strategik bersama antara kedua-dua negara.
Komitmen berterusan Malaysia dan Singapura dalam memperkasa diplomasi pertahanan dijangka terus menyokong keamanan, kestabilan serta kemakmuran serantau, di samping memperkukuh hubungan dua hala yang mampan dalam menghadapi cabaran keselamatan masa hadapan – The Capital Post