KAZAN 19 Jun 2026 (The Capital Post) – Malaysia menegaskan komitmennya terhadap pendekatan dialog dan diplomasi sebagai asas utama dalam menangani konflik serta ketegangan geopolitik global ketika menyampaikan Kenyataan Negara sempena Sidang Kemuncak Peringatan ASEAN-Rusia yang berlangsung di Kazan, Persekutuan Rusia.
Perdana Menteri, YAB Dato’ Seri Anwar Ibrahim berkata sidang kemuncak tersebut menjadi platform penting untuk memperkukuh kerjasama strategik antara negara-negara ASEAN dan Rusia dalam mendepani landskap antarabangsa yang semakin mencabar dan tidak menentu.
Menurut beliau, Malaysia kekal berpegang kepada prinsip bahawa keamanan yang berkekalan hanya dapat dicapai melalui rundingan, persefahaman bersama serta penghormatan terhadap undang-undang antarabangsa. Pendekatan tersebut penting dalam memastikan kestabilan serantau dan global dapat terus dipelihara.
Dalam ucapannya, Perdana Menteri turut menekankan kepentingan memperluaskan kerjasama antara ASEAN dan Rusia dalam pelbagai sektor strategik termasuk perdagangan dan pelaburan, ekonomi digital, sains dan teknologi, kecerdasan buatan (AI), tenaga, keterjaminan makanan, industri halal serta hubungan antara rakyat yang mampu menjana manfaat ekonomi lebih besar kepada kedua-dua pihak.
-Advertisement-
Menyentuh perkembangan semasa di Asia Barat, Malaysia sekali lagi menegaskan pendirian konsisten negara yang menggesa agar keganasan di Gaza dihentikan serta-merta dan bantuan kemanusiaan disalurkan tanpa sebarang halangan kepada penduduk yang terjejas.
Malaysia turut mempertahankan hak rakyat Palestin untuk menentukan masa depan mereka sendiri serta mengecam perluasan tindakan ketenteraan rejim Zionis Israel ke Lubnan. Pada masa sama, negara turut mengutuk sebarang serangan terhadap Pasukan Interim Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu di Lubnan (UNIFIL) yang berperanan dalam usaha mengekalkan keamanan di rantau berkenaan.
Perdana Menteri berkata ASEAN dan Rusia mempunyai potensi besar untuk memperkukuh hubungan berasaskan prinsip saling menghormati, manfaat bersama serta komitmen terhadap keamanan, kestabilan dan kemakmuran sejagat, selaras dengan cabaran dan keperluan dunia masa kini. – The Capital Post