Malaysia ulangi desakan gencatan senjata di Gaza pada Debat Terbuka PBB esok

Estimate Reading Time: 2 minutes

PUTRAJAYA: Malaysia akan mengulangi desakan gencatan senjata serta-merta, menentang perpindahan berterusan rakyat Palestin secara paksa dan mengegaskan kepentingan penghantaran bantuan kemanusiaan tanpa sebarang halangan di Gaza.

-Advertisement-

Perkara itu akan disampaikan oleh Menteri Luar, Datuk Seri Mohamad Hasan yang mengetuai delegasi Malaysia ke Debat Terbuka Peringkat Menteri di Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) berhubung situasi di Asia Barat termasuk Palestin di New York, Amerika Syarikat (AS) esok.

Wisma Putra menerusi kenyataan memaklumkan, pada majlis terbabit, Malaysia akan mendesak supaya Israel bertanggungjawab ke atas tindakannya yang terang-terangan melanggar undang-undang antarabangsa.

“Menteri Luar akan mengesyorkan supaya Palestin secara rasminya diiktiraf sebagai negara anggota PBB dengan keahlian penuh untuk memajukan perjuangan hak mutlak mereka bagi menentukan nasib sendiri dan kemerdekaan serta kedaulatan yang sudah lama dinafikan, berdasarkan sempadan pra 1967, dengan Baitulmaqdis Timur sebagai ibu negara,” katanya.

Menurut kenyataan itu lagi, Menteri Luar juga dijadualkan bertemu dengan Setiausaha Agung PBB, Antonio Guterres dan menyatakan sokongan Malaysia kepada seruan terkini beliau untuk bantuan kemanusiaan disalurkan ke Gaza dengan cepat, selamat, menyeluruh, berterusan dan tanpa halangan.

Katanya, Malaysia turut menyatakan sokongan kepada ahli politik Belanda, Sigrid Kaag dalam menunaikan tanggungjawab sebagai Koordinator Kanan Kemanusiaan dan Pembinaan Semula Gaza yang baharu.

“Malaysia memperakui usaha di peringkat multilateral yang dilakukan untuk memberi tumpuan berterusan kepada Situasi di Palestin,” katanya.

Mendukung suara rakyat Malaysia untuk Palestin, Menteri Luar akan menyerahkan poskad khas daripada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan anggota Kabinet kepada Setiausaha Agung PBB.

Selain usaha diplomatik, Malaysia juga terbabit dalam tindakan undang-undang di peringkat antarabangsa berhubung isu Palestin.

-Advertisement-

Justeru, Wisma Putra berkata, Mohamad akan mengetuai delegasi Malaysia ke Sesi Pendengaran Awam bagi mendapatkan Pendapat Nasihat Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) mengenai kesan perundangan yang timbul akibat daripada dasar dan pencabulan berterusan oleh Israel terhadap wilayah Palestin yang Diduduki, termasuk Baitulmaqdis Timur, yang akan diadakan di Peace Palace, The Hague, Belanda, bermula 19 Februari ini.

Malaysia dijangka akan menyampaikan Kenyataan Lisan pada 22 Februari ini.

“Malaysia sebelum ini sudah mengemukakan kenyataan bertulis pada 25 Julai 2023 kepada ICJ yang memberi fokus kepada pencabulan hak rakyat Palestin untuk penentuan nasib sendiri oleh Israel.

“Proses bagi mendapatkan Pendapat Nasihat ICJ adalah susulan daripada Resolusi 77/247 Perhimpunan Agung PBB yang diterima pakai pada 30 Disember 2022 dan ditaja bersama oleh Malaysia,” katanya.

Malah, Malaysia menyokong sepenuhnya tindakan undang-undang yang dikemukakan oleh Afrika Selatan terhadap Israel berkaitan pencabulan terhadap tanggungjawabnya di bawah Konvensyen 1948 membabitkan Pencegahan dan Hukuman Jenayah Genosid.

“Malaysia sedang meneroka opsyen tersedia untuk menyokong kes ini dengan lebih lanjut.

“Malaysia bertekad untuk menggunakan segala platform untuk menyokong Palestin dan menamatkan kekejaman di Gaza, dan membawa Israel ke muka pengadilan,” katanya.

– BeritaHarian


Notice: ob_end_flush(): failed to send buffer of zlib output compression (0) in /home/capitalp/public_html/wp-includes/functions.php on line 5373