Salah kembali ke pangkuan Liverpool

Estimate Reading Time: 2 minutes

LIVERPOOL, England: Mohamed Salah akan meninggalkan skuad Mesir pada Piala Negara-Negara Afrika untuk menyambung rawatan kecederaan hamstring di kelabnya Liverpool, menurut persatuan bola sepak negara itu semalam tetapi mereka berharap dia boleh kembali bagi kejohanan di Ivory Coast.

-Advertisement-

“Salah akan menghadiri perlawanan menentang Cape Verde (awal pagi esok) dan kemudian pulang ke England,” menurut Persatuan Bolasepak Mesir (EFA) dalam satu kenyataan.

“Selepas komunikasi antara staf perubatan Mesir dan rakan sejawat mereka di Liverpool, kami bersetuju pemain ini akan kembali ke England untuk meneruskan rawatan, berharap untuk kembali ke pasukan Mesir bagi separuh akhir.”

Pengumuman itu hadir selepas pengurus Liverpool, Jurgen Klopp berkata “adalah wajar” buat pemain berusia 31 tahun itu untuk menjalani rawatan di England.

“Itulah perancangannya,” kata Klopp selepas Liverpool menang 4-0 ke atas Bournemouth di gelanggang lawan awal pagi tadi apabila ditanya jika Salah kini akan kembali ke Merseyside.

“Sama ada ia sudah diputuskan 100 peratus, saya tidak tahu. Tetapi itulah perancangannya. Saya fikir mungkin setiap orang melihat adalah wajar buat dia menjalani pemulihan bersama kami atau orang kami.”

Salah sudah diketepikan bagi aksi genting Pharaohs dalam Kumpulan B menentang Cape Verde di Abidjan awal pagi esok dan aksi pusingan 16 terakhir Mesir jika mereka layak.

EFA pada awalnya berharap dia akan kembali bagi aksi suku akhir namun kini menerima hakikat Mesir beraksi tanpanya hinggalah kemungkinan separuh akhir pada 7 Februari depan.

-Advertisement-

Klopp membuka pintu buat Salah untuk kembali menyertai kejohanan itu jika dia terbukti cergas manakala Mesir masih meneruskan perjuangan.

“Jika Mesir layak ke final dan jika dia cergas sebelum final, maka kemungkinan ya,” kata Klopp. “Kenapa tidak? Ia jelas sekali.”

Selepas seri dua aksi pertama mereka pada kejohanan itu, juara Afrika tujuh kali itu perlu menewaskan Cape Verde yang sudah layak untuk memastikan tempat ke pusingan 16 terakhir.

Salah membantu Mesir seri 2-2 dengan Mozambique menerusi sepakan penalti pada aksi pembukaan sebelum terhincut-hincut pada babak pertama ketika seri menentang Ghana.

– AFP

– BeritaHarian


Notice: ob_end_flush(): failed to send buffer of zlib output compression (0) in /home/capitalp/public_html/wp-includes/functions.php on line 5373