TASHKENT 17 Jun 2026 (The Capital Post) – Malaysia dan Uzbekistan terus memperkukuh hubungan dua hala menerusi pertemuan singkat antara Perdana Menteri, Dato’ Seri Anwar Ibrahim dan Presiden Uzbekistan, Shavkat Mirziyoyev ketika pesawat yang membawa delegasi Malaysia membuat hentian di Tashkent sebelum meneruskan perjalanan ke Kazan, Rusia.
Pertemuan tersebut membuka ruang kepada kedua-dua pemimpin untuk bertukar pandangan mengenai usaha memperluaskan kerjasama dalam pelbagai sektor strategik termasuk perdagangan, pelaburan, pendidikan, industri halal dan pelancongan yang dilihat mempunyai potensi besar untuk diterokai bersama.
Selain aspek ekonomi, kedua-dua pemimpin turut membincangkan kepentingan mempererat kerjasama dalam memelihara warisan tamadun Islam serta memperkukuh tradisi keilmuan yang telah menyumbang kepada perkembangan peradaban dunia sejak sekian lama.
Dalam bidang tenaga, Malaysia dan Uzbekistan melihat peluang yang luas untuk mempertingkatkan kerjasama khususnya dalam industri gas dan petroleum. Kerjasama tersebut berpotensi menyokong pertumbuhan ekonomi kedua-dua negara di samping menyumbang kepada agenda keselamatan tenaga serta pembangunan mampan.
-Advertisement-
Malaysia turut menghargai komitmen Uzbekistan dalam memperkukuh hubungan dengan negara-negara ASEAN serta peranan yang semakin signifikan dimainkan negara Asia Tengah itu dalam landskap serantau.
Sebelum meneruskan perjalanan ke Rusia bagi menghadiri Sidang Kemuncak Peringatan ASEAN-Rusia, Perdana Menteri turut menyampaikan ucapan selamat maju jaya kepada pasukan bola sepak kebangsaan Uzbekistan yang bakal memulakan kempen mereka di Piala Dunia 2026 menentang Colombia.
Hubungan persahabatan yang semakin erat antara Malaysia dan Uzbekistan dijangka terus berkembang melalui kerjasama yang lebih menyeluruh, bukan sahaja dalam aspek ekonomi dan perdagangan, malah dalam usaha memperkasa ilmu, memartabatkan nilai kemanusiaan serta mewujudkan pembangunan yang lebih inklusif dan mampan. – The Capital Post