MATRADE lantik Mohd Mustafa Abdul Aziz sebagai CEO baharu

Estimate Reading Time: < 1 minute

KUALA LUMPUR, 24 Dis — Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (MATRADE) mengumumkan pelantikan Mohd Mustafa Abdul Aziz sebagai Ketua Pegawai Eksekutifnya (CEO) yang baharu, susulan persaraan Datuk Wan Latiff Wan Musa hari ini.

-Advertisement-

Dalam kenyataan, MATRADE berkata Mohd Mustafa akan mengambil alih tanggungjawab baharu bermula 25 Dis, 2020.

Mohd Mustafa, sebelum ini merupakan Timbalan CEO (Peningkatan Eksport) MATRADE, mempunyai pengetahuan yang luas dalam perdagangan antarabangsa dan telah memegang pelbagai jawatan dalam organisasi, termasuk menerajui pasaran ASEAN dan Australasia, China dan Asia Timur Laut, Asia Tengah, Asia Barat, Asia Selatan dan Afrika.

Beliau turut menerajui bahagian Perkhidmatan Profesional dan Perniagaan serta bahagian Pembangunan Syarikat Peringkat Pertengahan dan SME Go-Ex.

Beliau turut terlibat secara aktif dalam pelbagai jawatankuasa bagi perdagangan dan pembangunan eksport untuk kemajuan ekonomi Malaysia.

Mohd Mustafa memulakan kerjayanya selama 30 tahun dalam perkhidmatan awam dengan bermula di Kementerian Luar, diikuti Unit Perancang Ekonomi di Jabatan Perdana Menteri sebelum menyertai MATRADE pada Jun 1994, apabila beliau memainkan peranan penting dalam menggalakkan eksport.

-Advertisement-

Kemuncak kerjaya beliau termasuklah berkhidmat selama 14 tahun di luar negara sebagai Pesuruhjaya Perdagangan MATRADE di Paris, Dubai dan Tokyo, serta sebagai Pesuruhjaya Perdagangan Kanan di New York dan Dubai untuk kali kedua, dan beliau telah mendapat kemahiran dan pengalaman yang luas dalam perdagangan antarabangsa.

Berminat dalam memulakan dan menerajui perubahan, mengukuhkan operasi, memacu hasil dan inovasi, Mohd Mustafa komited untuk mentransformasikan MATRADE dengan mewujudkan lebih banyak nilai melalui usaha kerjasama untuk pengeksport dan pihak berkepentingan.

“Walaupun dengan situasi pandemik semasa yang mencabar, kami bukan hanya akan terus menjalin kerjasama strategik dengan pihak berkepentingan dalam sektor swasta dan awam tetapi juga terus menghubungkan pengeksport Malaysia dengan pembeli global,” katanya dalam kenyataan.

— BERNAMA


Notice: ob_end_flush(): failed to send buffer of zlib output compression (0) in /home/capitalp/public_html/wp-includes/functions.php on line 5373