JOHOR BAHRU, 12 Julai 2026 (The Capital Post) – Menteri Besar Johor yang baharu merafakkan sembah menjunjung kasih kepada Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim atas limpah perkenan melantik beliau sebagai Menteri Besar Johor.
Dalam kenyataannya, beliau turut merafakkan sembah menjunjung setinggi-tinggi kasih kepada Duli Yang Amat Mulia Tunku Mahkota Ismail, Pemangku Sultan Johor, atas limpah perkenan serta kepercayaan yang diberikan untuk terus memikul amanah menerajui pentadbiran negeri.
Beliau menegaskan komitmen untuk melaksanakan tanggungjawab tersebut dengan penuh taat setia demi memastikan kemajuan Johor serta kesejahteraan Bangsa Johor terus diperkasakan.
Menurutnya, setiap keputusan yang bakal dibuat akan memberi kesan kepada kehidupan jutaan rakyat Johor, justeru beliau memohon agar dikurniakan kebijaksanaan, keadilan dan keikhlasan dalam melaksanakan amanah yang dipertanggungjawabkan.
-Advertisement-
Pada masa yang sama, beliau mengumumkan bahawa Kerajaan Negeri Johor, atas limpah perkenan Duli Yang Amat Mulia Tunku Mahkota Ismail, Pemangku Sultan Johor, telah mengisytiharkan hari Isnin, 13 Julai 2026 sebagai Hari Cuti Peristiwa Negeri Johor.
Beliau berkata pengisytiharan cuti tersebut adalah sebagai tanda penghargaan kepada seluruh Bangsa Johor yang telah menunaikan tanggungjawab dan amanah sebagai rakyat dalam Pilihan Raya Negeri Johor Ke-16.
Mengakhiri kenyataannya, beliau memohon doa daripada seluruh Bangsa Johor agar segala urusan pentadbiran negeri dipermudahkan, selain berharap setiap amanah yang dipikul dapat dilaksanakan dengan penuh keikhlasan, integriti serta sentiasa mendapat petunjuk dan keredaan Allah SWT demi kemakmuran Johor. – The Capital Post.