Menteri Kesihatan lancar buku baharu Dr Kamal Amzan

Estimate Reading Time: < 1 minute

KUALA LUMPUR, 13 Julai 2026 (The Capital Post) – Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad melancarkan buku terbaharu Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan IHH Healthcare, Dr Kamal Amzan, bertajuk The Future We Choose, sambil menyifatkannya sebagai karya yang tepat pada masanya dalam mencetuskan perbincangan mengenai masa depan sistem penjagaan kesihatan negara.

Berucap pada majlis pelancaran di MPH TRX, Dzulkefly berkata agenda kesihatan merupakan satu perjuangan moral yang tidak seharusnya diukur berdasarkan jumlah hospital yang dibina atau saiz peruntukan yang disediakan, sebaliknya melalui keupayaan melindungi golongan rentan serta memastikan akses kepada perkhidmatan kesihatan yang adil untuk semua.

Beliau berkata reformasi kesihatan perlu memastikan keluarga tidak terus dibebani kos rawatan yang tinggi di samping memastikan tiada komuniti yang tercicir daripada menikmati kemudahan kesihatan.

Menurutnya, transformasi sistem kesihatan memerlukan pendekatan Kesihatan dalam Semua Polisi menerusi satu Kontrak Sosial Baharu Kesihatan, dengan tanggungjawab memupuk kesihatan rakyat dikongsi oleh semua pihak dan bukan hanya Kementerian Kesihatan.

-Advertisement-

Katanya, usaha tersebut perlu bermula dari rumah, sekolah dan tempat kerja melalui kerjasama kerajaan, sektor swasta serta masyarakat bagi mengutamakan kesejahteraan insan dan pencegahan penyakit.

Memetik kata-kata pakar pengurusan Peter Drucker, “The best way to predict the future is to create it,” Dzulkefly turut mengucapkan tahniah kepada Dr Kamal atas penerbitan buku berkenaan dan berharap ia dapat merangsang perbincangan yang lebih meluas ke arah membina landskap kesihatan negara yang lebih adil, mampan dan saksama.

Menurut satu hantaran di laman Facebook rasmi Kementerian Kesihatan Malaysia, pelancaran buku tersebut mencerminkan komitmen kementerian dalam menggalakkan wacana mengenai transformasi sistem kesihatan negara.- The Capital Post