MdI Taiping Perkukuh Kesedaran Kewangan Menerusi Hari Aspirasi MdI

Estimate Reading Time: < 1 minute

TAIPING 16 Ogos 2026 (The Capital Post) – Jabatan Insolvensi Malaysia (MdI) Cawangan Taiping menganjurkan MdI Open Day bertemakan “Hari Aspirasi MdI: Wadah Informasi & Kolaborasi Strategik” bagi meningkatkan kesedaran masyarakat mengenai peranan, perkhidmatan serta kepentingan pengurusan kewangan yang berhemah.

Program yang berlangsung pada 12 Ogos 2026 di Dewan Dato’ Sagor, ADTEC JTM Kampus Taiping itu dirasmikan oleh Timbalan Ketua Pengarah (Pengurusan) Jabatan Insolvensi Malaysia, YBhg. Dato’ Che Sukri bin Che Mat.

Turut hadir Pegawai Daerah Taiping, Tuan Mohd Nasrul bin Menhat; Ketua Polis Daerah Taiping, YDH ACP Saravanan a/l Shanmugam; Pengarah ADTEC, Ts. Hj. Jamil bin Yahya A.M.P; Pengarah Insolvensi Negeri Perak, Puan Adibah binti Abdul Kadir serta Penolong Pengarah Insolvensi Negeri Perak, Puan Awfa binti Abdul Gafar.

Antara pengisian utama ialah sesi “Kenali MdI” yang disampaikan oleh Puan Nur Nabilah Hanim binti Mohd Noor Hakim, bertujuan memberi penerangan kepada peserta mengenai fungsi, peranan dan perkhidmatan yang disediakan oleh MdI.

Program turut menampilkan sesi Sembang Kewangan bersama pempengaruh Muhammad Noor bin Zakaria (MdNor) menerusi tajuk “Generasi Bebas Hutang: Strategi Pengurusan Kewangan Lestari untuk Belia”. Perkongsian tersebut memberi penekanan terhadap kepentingan pengurusan kewangan secara bijak, khususnya kepada pelajar ADTEC yang bakal memasuki alam pekerjaan.

-Advertisement-

Sesi interaktif “Anda Tanya Kami Jawab” dan “Kami Tanya Anda Jawab” turut diadakan bagi menggalakkan komunikasi dua hala serta membantu peserta mendapatkan maklumat dan penjelasan berkaitan isu yang dibincangkan.

Sebanyak 10 agensi kerajaan dan korporat turut menyertai program melalui pembukaan reruai pameran, kaunter khidmat nasihat serta perkongsian maklumat kepada pengunjung. YBhg. Dato’ Che Sukri turut berkesempatan mengunjungi reruai yang disediakan dan beramah mesra bersama para petugas.

Penganjuran MdI Open Day ini mencerminkan usaha berterusan MdI dalam memperluas akses kepada maklumat, memperkukuh kolaborasi strategik serta meningkatkan literasi kewangan dalam kalangan masyarakat, khususnya generasi muda. – The Capital Post