GEORGE TOWN: Pulau Pinang dijangka menerima dan menghantar keluar kira-kira dua juta kenderaan sempena cuti Tahun Baharu Cina dari 15 hingga 20 Februari ini, kata Ketua Polis negeri, Datuk Azizee Ismail.
Beliau berkata bagi memastikan kelancaran trafik, seramai 380 pegawai dan anggota Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Kontinjen Pulau Pinang ditugaskan secara 24 jam sepanjang Op Selamat 25/2026. Jumlah ini meningkat berbanding kira-kira 1.8 juta kenderaan tahun lepas, berikutan pergerakan pulang ke kampung dan lawatan keluarga oleh warga kota serta ketibaan musim perayaan lain.
Azizee berkata Op Selamat 25/2026 turut melibatkan kerjasama Jabatan Pencegahan Jenayah dan Keselamatan Komuniti (JPJKK), dengan penugasan 350 unit rondaan termasuk Unit Rondaan Bermotosikal (URB) dan kenderaan peronda (MPV), Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), pihak berkuasa tempatan (PBT), serta PLUS.
Beliau menegaskan operasi itu menggunakan konsep Pre-Emptive Services and Total Enforcement, yang menekankan tindakan awal dan langkah pencegahan proaktif untuk mengurangkan kesesakan dan kemalangan jalan raya. Fokus operasi termasuk kawasan kerap berlaku kemalangan dan zon berisiko tinggi di sepanjang Lebuhraya Utara-Selatan serta jalan utama di bandar.
Sebanyak 45 lokasi telah dikenal pasti di Pulau Pinang, termasuk Jalan Teluk Air Tawar–Jalan Bagan Luar, Jalan Perusahaan Perai–Jalan Kulim, Jalan Besar Simpang Empat (KM12–KM32), Lebuhraya Tun Dr Lim Chong Eu/Jalan Ayer Itam, Jalan Ayer Itam–Paya Terubong, Jalan Sultan Azlan Shah, dan Jalan Tun Dr Awang. Pengguna jalan raya dinasihatkan mematuhi peraturan lalu lintas yang ditetapkan.
Sementara itu, di Alor Setar, Ketua Polis Kota Setar, ACP Syed Basri Syed Ali, berkata lima pegawai dan 43 anggota Ibu Pejabat Polis Daerah Kota Setar akan ditugaskan sepanjang Op Selamat 25/2026, susulan kira-kira 300,000 kenderaan dijangka memasuki daerah itu.
-Advertisement-
Lapan kawasan kerap berlaku kemalangan dikenal pasti, termasuk Lampu Isyarat Jalan Simpang Kuala, Jalan Tanjung Bendahara, Jalan Datuk Kumbar, Derga, Taman Pandan, Kota Sarang Semut, Kuala Sungai, dan Plaza Tol Alor Setar Utara. Kawasan kerap berlaku kemalangan maut pula merangkumi KM8 Jalan Alor Setar-Kangar (Taman Flora/Taman Sayang Kuala Sungai), Lebuhraya Sultanah Bahiyah (Lampu Isyarat Raden) dan Jalan Alor Setar-Kuala Kedah (Lampu Isyarat Batas Paip).
Syed Basri berkata pasukan tambahan seperti ‘Team Jammed Skuad’ dan ‘Team Omnipresent’ akan turut ditugaskan bagi memastikan keselamatan pengguna jalan raya sepanjang musim perayaan ini.
-BERNAMA
-Malaymail