UNITED KINGDOM 24 Julai 2026 (The Capital Post) – Kementerian Pertahanan (MINDEF) memperkukuh kerjasama strategik dalam bidang teknologi angkasa dan pertahanan menerusi lawatan industri ke fasiliti Airbus Defence and Space di Stevenage, United Kingdom.
Lawatan yang diketuai oleh Ketua Setiausaha Kementerian Pertahanan, YBhg. Datuk Lokman Hakim Ali bersama delegasi Malaysia itu bertujuan meneroka peluang kerjasama dalam pembangunan teknologi satelit pertahanan serta memperkukuh keupayaan komunikasi strategik Angkatan Tentera Malaysia (ATM).
Sepanjang sesi libat urus, kedua-dua pihak membincangkan usaha meningkatkan keupayaan komunikasi satelit pertahanan negara, termasuk perancangan jangka panjang bagi pembangunan Sistem Satelit X-Band ATM yang menjadi antara komponen penting dalam memperkukuh kesiapsiagaan pertahanan negara.
Turut menjadi fokus perbincangan ialah pelaksanaan Industrial Cooperation Programme (ICP) yang bertujuan memperluaskan pemindahan teknologi, membangunkan modal insan berkemahiran tinggi serta meningkatkan penglibatan industri tempatan dalam rantaian nilai industri aeroangkasa dan pertahanan global.
-Advertisement-
Menurut MINDEF, kerjasama tersebut dijangka membuka peluang kepada syarikat tempatan untuk memperkukuh kepakaran teknologi tinggi, sekali gus menyokong pembangunan ekosistem industri pertahanan negara yang lebih mampan dan berdaya saing.
Lawatan ini juga mencerminkan komitmen berterusan Malaysia dalam memperkukuh diplomasi pertahanan melalui hubungan strategik dengan pemain industri pertahanan antarabangsa, sejajar dengan usaha memodenkan keupayaan pertahanan negara.
Turut menyertai lawatan tersebut ialah Presiden Coalition of Defence Industry Malaysia (CDIM), YBhg. Dato’ Nonee Ashirin Mohd. Radzi, serta Ketua Eksekutif National Aerospace Industry Corporation Malaysia (NAICO), YBrs. Prof. Ts. Dr. Shamsul Kamar Abu Samah. – The Capital Post