MKN yang tentukan SOP

Estimate Reading Time: 2 minutes

KUALA LUMPUR: Sebarang keputusan dalam penetapan prosedur operasi standard (SOP) adalah hasil perbincangan bersama mesyuarat Majlis Keselamatan Negara (MKN) dengan mengambil kira keadaan semasa pandemik COVID-19, kata Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah.

-Advertisement-

“Perkara ini juga termasuk perubahan dalam kelonggaran SOP sedia ada. Ia adalah keputusan bersama MKN. Justeru tunggu saja mesyuarat MKN nanti,” katanya kepada BH hari ini.

Beliau mengulas mengenai kewajaran untuk meneliti semula kelonggaran membenarkan individu lengkap vaksinasi makan di restoran di negeri Fasa 1 Pelan Pemulihan Negara (PPN) mulai 20 Ogos lalu.

Sidang Khas MKN pada 19 Ogos lalu yang dipengerusikan bekas Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin bersetuju memberikan kemudahan tambahan sektor sosial dan ekonomi kepada individu yang telah menerima vaksinasi lengkap bagi negeri-negeri di dalam Fasa 1 PPN.

Antara kemudahan berkenaan termasuk makan di restoran, sukan dan rekreasi, perkhemahan dan berkelah serta dalam sektor perdagangan dan pengedaran menyaksikan operasi pasar minggu dan pasar malam dibenarkan.

Kelonggaran itu bagaimanapun mencetuskan perdebatan masyarakat apabila jumlah jangkitan terus meningkat, malah semalam dua rekod tertinggi baharu dicatatkan apabila 24,599 kes baharu dan 393 kematian.

Dalam pada itu, Selangor semalam turut mencatatkan bilangan paling tinggi harian iaitu hampir 7,000 kes, diikuti Sabah, Johor, Pulau Pinang, Sarawak, Kedah, Kelantan dan Perak.

Sementara itu, Profesor Epidemiologi dan Biostatistik, Kuliyyah Perubatan, Universiti Islam Antarabangsa (UIAM), Prof Dr Jamalludin Ab Rahman berpendapat, perkara paling penting adalah penguatkuasaan SOP yang dikeluarkan.

-Advertisement-

“Secara peribadi saya tidak bersetuju apabila kerajaan sering menukar SOP kerana perkara lebih mustahak adalah penguatkuasaan SOP yang dikeluarkan,” katanya sambil menambah kerajaan perlu mengkaji punca di sebalik lonjakan kes.

“Pada ketika ini, puncanya adalah tingkah laku masyarakat yang masih tidak memahami kepentingan penjarakan fizikal dan larangan daripada berhimpun. Namun ini sukar untuk diubah kerana naluri manusia yang suka bersosial,” katanya.

Justeru katanya, kerajaan seharusnya seharusnya menggandakan usaha untuk memberi faham pada masyarakat dan mewujudkan alternatif iaitu tidak hanya mengharapkan usaha Kementerian Kesihatan (KKM) semata-mata.

“Pada masa sama, langkah penting adalah mempercepatkan pemberian vaksin,” katanya.

Bagaimanapun katanya, dalam menangani pandemik COVID-19, kerajaan tidak mempunyai banyak pilihan terutama apabila lonjakan kes disebabkan varian Delta.

“Oleh itu adalah amat penting masyarakat perlu memahami dan mematuhi SOP seperti penjarakan fizikal dan elak daripada berhimpun,” katanya.

-BH