Moody’s turunkan penarafan Indonesia dari stabil kepada negatif

Estimate Reading Time: 2 minutes

JAKARTA: Moody’s Investors Service menurunkan unjuran penarafan kredit Indonesia kepada negatif daripada stabil, dengan alasan kebimbangan terhadap kebolehjangkaan pembuatan dasar dan isu tadbir urus, beberapa hari selepas MSCI menimbulkan persoalan ketelusan yang mencetuskan kejatuhan pasaran bernilai lebih AS$80 bilion.

Menteri Penyelaras Hal Ehwal Ekonomi Indonesia, Airlangga Hartarto, meremehkan langkah berkenaan dengan menyatakan agensi penarafan dan pasaran kewangan global masih belum memahami sepenuhnya strategi pertumbuhan baharu negara itu. Perubahan unjuran ini memberi tekanan baharu kepada Indonesia, ekonomi G20 bernilai AS$1.4 trilion di bawah kepimpinan Presiden Prabowo Subianto, ketika pelabur semakin berhati-hati susulan ketidaktentuan dasar termasuk defisit fiskal yang melebar dan isu kebebasan bank pusat.

Moody’s bagaimanapun mengekalkan penarafan kredit Indonesia pada Baa2, sambil menyatakan perubahan kepada unjuran negatif mencerminkan risiko terhadap keberkesanan dasar serta tanda-tanda kelemahan tadbir urus.

-Advertisement-

“Jika berterusan, trend ini boleh menghakis kredibiliti dasar Indonesia yang telah lama menyokong pertumbuhan ekonomi kukuh serta kestabilan makroekonomi, fiskal dan kewangan,” kata agensi penarafan itu.

Airlangga, ketika berucap pada satu acara anjuran pengawal selia kewangan di Jakarta, berkata kerajaan akan menggunakan proses maklum balas bagi memberikan penjelasan lanjut kepada Moody’s.

“Memang benar belanjawan kami agak berbeza kerana kami berbelanja besar untuk program presiden seperti makanan percuma, koperasi merah putih dan perkhidmatan awam,” katanya, merujuk kepada inisiatif termasuk usaha menghidupkan semula ekonomi luar bandar.

Namun beliau berkata, dana kekayaan berdaulat yang ditubuhkan oleh Prabowo, Danantara Indonesia, akan menjadi pemacu pertumbuhan melalui pelaburan dan bukannya bergantung kepada perbelanjaan belanjawan kerajaan.

Gabenor Bank Indonesia, Perry Warjiyo, menegaskan penurunan unjuran itu tidak bermakna asas ekonomi negara semakin lemah, sambil menambah pertumbuhan ekonomi kekal kukuh.

“Kestabilan sistem kewangan kekal terpelihara, disokong oleh kecairan mencukupi, modal perbankan yang kukuh serta risiko kredit yang rendah,” katanya dalam satu kenyataan.

Bank Indonesia turut memaklumkan ia akan memperkukuh sinergi dasar bagi mengekalkan kestabilan makroekonomi dan sistem kewangan, serta bekerjasama dengan kerajaan untuk mempertingkatkan komunikasi dasar demi mengekalkan keyakinan pasaran.

Terdahulu, Indonesia melaporkan pertumbuhan ekonomi terbaik dalam tempoh tiga tahun pada 2025 apabila pertumbuhan pada suku keempat melebihi jangkaan, didorong perbelanjaan isi rumah yang kukuh dan pelaburan yang meningkat, menurut data rasmi. Namun, beberapa ahli ekonomi mempersoalkan ketepatan data KDNK itu dengan merujuk kepada penurunan hasil cukai 2025 serta petunjuk lain termasuk pertumbuhan pelaburan langsung asing yang mendatar.

Prabowo sebelum ini berikrar meningkatkan kadar pertumbuhan ekonomi sekitar lima peratus dalam beberapa tahun kebelakangan ini kepada lapan peratus sepanjang tempoh pentadbirannya. Sejak mengambil alih kuasa pada akhir 2024, beliau melaksanakan beberapa langkah ke arah itu termasuk menyingkirkan Menteri Kewangan yang dihormati, Sri Mulyani Indrawati, dan menggantikannya dengan ahli ekonomi berorientasikan pertumbuhan, Purbaya Yudhi Sadewa.

Susulan pengumuman Moody’s, bon antarabangsa Indonesia mencatatkan penurunan, dengan bon dolar jangka panjang merosot antara 0.3 hingga 0.5 sen dan diniagakan pada paras terendah dalam tempoh lima bulan, menurut data Tradeweb.

Kementerian Kewangan Indonesia dalam satu kenyataan menyatakan pihaknya menghargai pengekalan penarafan oleh Moody’s dan menegaskan kerajaan sedang melaksanakan transformasi ekonomi bagi merancakkan pertumbuhan.

“Kerajaan terus memastikan semua potensi risiko diuruskan dengan baik,” katanya.

Moody’s menjelaskan penarafan boleh diturunkan jika berlaku peralihan berterusan kepada dasar fiskal lebih mengembang tanpa pembaharuan hasil yang sepadan, kemerosotan ketara kedudukan luaran akibat aliran keluar modal, atau kelemahan material dalam kedudukan syarikat milik negara.

Indonesia kini berada pada penarafan Baa2, iaitu penarafan pelaburan terendah kedua oleh Moody’s.

“Ini adalah ujian keyakinan, bukan peristiwa kredit,” kata Pengurus Dana SGMC Capital yang berpangkalan di Singapura, Mohit Mirpuri. “Moody’s menekankan risiko pelaksanaan, bukannya tekanan kunci kira-kira, dan kami menjangkakan kerajaan akan menangani isu tadbir urus bagi menstabilkan sentimen dari semasa ke semasa.”

-Reuters
-BeritaHarian