MOSTI CARE 2026 Santuni Warga Kesihatan Dan Pesakit Di Lahad Datu

Estimate Reading Time: < 1 minute

LAHAD DATU 4 Ogos 2026, (The Capital Post) – Program MOSTI CARE 2026 diteruskan di Hospital Daerah Lahad Datu sebagai sebahagian daripada usaha Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) memperkukuh agenda keterangkuman komuniti serta menyokong kesejahteraan rakyat.

Program tersebut disertai oleh Timbalan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, YB Dato’ Dr. Haji Mohammad Yusof Apdal yang turut menyantuni warga kesihatan serta pesakit di hospital berkenaan.

Antara pengisian program ialah sesi penghargaan kepada doktor, jururawat dan anggota sokongan atas dedikasi mereka dalam memberikan perkhidmatan kesihatan kepada masyarakat, selain mengadakan Kunjungan Kasih ke wad hospital bagi menyampaikan sumbangan kebajikan kepada pesakit.

-Advertisement-

Inisiatif itu mencerminkan keprihatinan MOSTI dalam memastikan manfaat sains, teknologi dan inovasi diterjemahkan melalui pendekatan yang lebih inklusif dan mesra rakyat, di samping mengukuhkan hubungan dengan komuniti setempat.

MOSTI turut menegaskan komitmennya untuk terus bekerjasama dengan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dalam melaksanakan program yang memberi impak positif kepada kesejahteraan masyarakat serta memperkasakan penyampaian perkhidmatan kepada rakyat. – The Capital Post