PUTRAJAYA 20 Julai 2026 (The Capital Post) – Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) meneruskan komitmen memperkukuh budaya inovasi dan penghargaan warga kerja menerusi Majlis Perhimpunan Bulanan MOSTI bagi Julai 2026 yang bertemakan Hari Bulan Sedunia.
Majlis tersebut disempurnakan oleh Ketua Setiausaha MOSTI, YBhg. Dato’ Ts. Dr. Nagulendran Kangayatkarasu dengan kehadiran Timbalan Ketua Setiausaha (Perancangan dan Pembudayaan Sains), YBhg. Dato’ Ruziah Shafei serta Timbalan Ketua Setiausaha (Pembangunan Teknologi), YBrs. Puan Norsham Abdul Latip.
Pemilihan tema Hari Bulan Sedunia bersempena dengan tarikh bersejarah pendaratan Apollo 11 pada 20 Julai 1969 yang menyaksikan kejayaan manusia pertama menjejakkan kaki ke permukaan Bulan. Dalam amanatnya, KSU MOSTI menekankan bahawa pencapaian teknologi masa kini merupakan hasil kesinambungan usaha generasi terdahulu, penyelidik serta pelbagai pihak yang telah menyumbang kepada kemajuan bidang Sains, Teknologi dan Inovasi (STI).
-Advertisement-
Perhimpunan berkenaan turut menyaksikan penghargaan diberikan kepada dua pegawai MOSTI yang berjaya diterima sebagai ahli International Astronomical Union (IAU), selain meraikan kejayaan empat projek RKB yang telah disiapkan dengan jayanya.
Majlis turut diteruskan dengan penyampaian sijil penghargaan kepada pegawai yang bakal bersara pada bulan Julai, pengumuman pergerakan serta kenaikan pangkat warga MOSTI, di samping meraikan sambutan ulang tahun kelahiran seramai 58 warga kementerian yang lahir pada bulan berkenaan. – The Capital Post