MOSTI Sokong Peluncuran Bulan Kebangsaan 2026

Estimate Reading Time: < 1 minute

IPOH 20 Julai 2026 (The Capital Post) – Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) menzahirkan komitmen berterusan dalam menyokong agenda Malaysia MADANI apabila menyertai Majlis Peluncuran Bulan Kebangsaan dan Kibar Jalur Gemilang 2026 yang berlangsung di Institut Latihan Kementerian Kesihatan Malaysia Sultan Azlan Shah (ILKKM SAS), Perak.

Ketua Setiausaha MOSTI, YBhg. Dato’ Ts. Dr. Nagulendran Kangayatkarasu hadir mewakili kementerian pada majlis berkenaan yang disempurnakan oleh Perdana Menteri, YAB Dato’ Seri Anwar Ibrahim. Peluncuran tersebut menjadi simbolik kepada permulaan sambutan Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia 2026 yang akan diraikan di seluruh negara dengan semangat patriotisme, perpaduan serta kebersamaan rakyat.

Mengangkat tema “Malaysia MADANI: Kesejahteraan Dinikmati”, sambutan tahun ini menekankan iltizam Kerajaan MADANI untuk memastikan manfaat pembangunan negara dapat dinikmati secara adil, inklusif dan menyeluruh oleh setiap lapisan masyarakat. Pendekatan itu turut mencerminkan aspirasi negara dalam membina sebuah Malaysia yang lebih makmur, bersatu dan sejahtera.

-Advertisement-

Seiring dengan hasrat tersebut, MOSTI akan terus memperkukuh agenda Sains, Teknologi dan Inovasi (STI) sebagai pemacu pembangunan negara, sekali gus menyokong usaha meningkatkan daya saing Malaysia di peringkat global sambil menyemai nilai cintakan negara dan memperkukuh perpaduan rakyat.

Dalam masa yang sama, warga MOSTI turut diseru untuk menjayakan inisiatif #SatuRumahSatuJalurGemilang dengan mengibarkan Jalur Gemilang di kediaman dan premis masing-masing sebagai lambang semangat patriotik serta komitmen bersama dalam mengekalkan keamanan, keharmonian dan kemakmuran negara. – The Capital Post