MPC, Futurise bekerjasama bantu perlaksanaan peraturan MyDIGITAL

Estimate Reading Time: < 1 minute

KUALA LUMPUR, April 7  — Malaysia Productivity Corp (MPC) dan Futurise Sdn Bhd sedang bekerjasama untuk memudahkan pelaksanaan peraturan-peraturan yang ditetapkan dalam Rangka Tindakan Ekonomi Digital Malaysia 2021 (MyDIGITAL).

-Advertisement-

Ketua Pengarah MPC Datuk Abdul Latif Abu Seman dalam satu kenyataan hari ini berkata perkembangan pesat dalam teknologi baharu memerlukan Malaysia mengemas kini dengan peraturan yang sewajarnya bagi memenuhi permintaan perniagaan.

”Penubuhan kerjasama kerja timbal balik ini membolehkan MPC dan Futurise menjalinkan hubungan yang rapat  untuk mengusahakan penambahbaikan serta pembaharuan pengawalseliaan.

‘Kedua-dua agensi akan merumuskan kod kerjasama selaras dengan bidang kuasa mereka berkaitan tugasan dan fungsi pengawalseliaan melalui pendekatan peraturan yang tangkas,” katanya dalam satu kenyataan bersama hari ini.

Selain itu, kedua-dua pihak akan menyelaras dan mewujudkan pelan kerjasama serta tindakan dalam bidang tadbir urus, proses kerja, pelaporan dan pertukaran data.

Menurut Abdul Latif, penambahbaikan dan pembaharuan melalui pendekatan pengawalseliaan adalah kritikal, terutamanya dengan kejatuhan ekonomi global akibat kesan pandemik COVID-19.

-Advertisement-

”Kami juga sedang meneliti masa yang diambil bagi memproses dan membangunkan peraturan baharu. Biasanya, ia memerlukan masa untuk peraturan baharu diluluskan.

”Peraturan tangkas membolehkan pengawal selia membangunkan peraturan yang sesuai dengan keperluan perniagaan semasa dan masa depan,” katanya.

Justeru, Abdul Latif berkata ini akan memerlukan penggubal dasar serta pengawal selia mengubah penyampaian peraturan mereka dan dengan cepat, mengguna pakai teknologi digital bagi mengurangkan beban pengawalseliaan yang mungkin menghalang perniagaan untuk meningkatkan produktiviti, inovasi serta daya saing.

”Cabaran bagi pengawal selia dan penggubal dasar adalah dengan menggunakan teknologi baharu seperti pengawasan pasaran algoritma, pengumpulan data automatik mengenai prestasi perkhidmatan termasuk bertujuan mereka bentuk peraturan yang berkesan yang boleh mencapai pematuhan yang tinggi.

”Pengawalseliaan tangkas akan mengurangkan beban pengawalseliaan yang tidak perlu untuk perniagaan dan mengurangkan kos menjalankan perniagaan, yang sangat penting dalam menarik serta mengekalkan pelabur sedia ada,” katanya lagi.

MPC adalah sebuah badan berkanun di bawah Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri manakala Futurise merupakan sebuah syarikat di bawah Kementerian Kewangan yang memberi tumpuan kepada inovasi, pengawalseliaan serta pengkomersialan.

— BERNAMA