Musk lawat lokasi serangan Hamas dengan Netanyahu

Estimate Reading Time: < 1 minute

BAITULMAQDIS: Hartawan teknologi, Elon Musk, melawat lokasi serangan Hamas di selatan Israel semalam bersama Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu dan berbincang mengenai kecerdasan buatan (AI) bersama ketua pertahanan.

-Advertisement-

Musk dan Netanyahu mengadakan temu bual singkat di patform X sebelum lawatan ke Kfar Aza, salah sebuah kibbutzim atau ladang komuniti di selatan Israel yang diserang pejuang Palestin pada 7 Oktober lalu.

“Kita perlu hapuskan aktiviti ketenteraan di Gaza selepas ia dimusnahkan Hamas, sebelum membina semula Gaza dengan bantuan rakan negara Arab,” kata Netanyahu sambil menggesa kempen untuk ‘deradikalisasi’ wilayah Palestin.

Netanyahu memberitahu Musk bahawa beliau berharap untuk memulakan kembali rundingan jalinan hubungan dengan Arab Saudi, menerusi Amerika Syarikat (AS) selaku pengantara, bagi memperluaskan skop keamanan melampaui apa yang dijangkakan.

Netanyahu tidak membuat sebarang kenyataan umum menyentuh mengenai dakwaan sentimen anti Yahudi berleluasa di media sosial milik Musk.

Terdahulu, Menteri Komunikasi, Shlomo Karhi, berkata Israel secara prinsip sudah mencapai persefahaman mengenai penggunaan satelit of Starlink, dikendalikan syarikat Musk, SpaceX, di Israel dan Semenanjung Gaza, dengan ‘kelulusan Kementerian Komunikasi Israel’.

Musk dan Netanyahu juga mengadakan mesyuarat lanjut mengenai aspek keselamatan AI, menurut kenyataan pejabat Perdana Menteri Israel.

-Advertisement-

“Pegawai kanan badan keselamatan dalam bidang AI dan siber menyertai mesyuarat berkenaan,” katanya.

Musk juga dijangka menemui Presiden Israel, Isaac Herzog, dalam rangka lawatannya ke Israel, dan membincangkan keperluan ‘menentang sentimen anti-Yahudi dalam talian’.

Beliau juga dikritik hebat sejak kebelakangan ini kerana didakwa membenarkan kenyataan berunsur kebencian berleluasa di platform X miliknya.

Selain itu, Rumah Putih menuduh Musk sengaja menggalakkan sentimen anti-Yahudi selepas mengiktiraf teori konspirasi menuduh kaum Yahudi cuba melemahkan golongan kulit putih.

Musk, orang terkaya di dunia, berkata platform media sosialnya tidak dapat menghentikan semua kenyataan berunsur kebencian sebelum ia dipaparkan dan beliau sendiri ‘menentang serangan terhadap mana-mana pihak, tidak kira siapa mereka’.

– AFP

– BeritaHarian


Notice: ob_end_flush(): failed to send buffer of zlib output compression (0) in /home/capitalp/public_html/wp-includes/functions.php on line 5427