Remaja berketayap tikam pemandu e-hailing ditahan polis

Estimate Reading Time: 2 minutes

Sungai Petani: Hanya kerana tidak puas hati dimaki ketika mengambil semula wang tambang dipercayai menjadi punca menyebabkan seorang remaja lelaki berusia 13 tahun bertindak di luar kawalan dengan mengacu pisau di dada kiri pemandu kenderaan itu, semalam.

-Advertisement-

Bagaimanapun pemandu e-hailing berusia 65 tahun itu sempat merampas pisau serta mengigit tangan remaja berusia 13 tahun untuk mempertahankan diri kemudian suspek kemudian melarikan diri.

Ketua Polis Daerah Kuala Muda, Asisten Komisioner Zaidy Che Hassan berkata, berdasarkan laporan, warga emas terbabit menerima pesanan penumpang melalui aplikasi Grab pada jam 5.43 petang semalam untuk mengambil penumpang terbabit di Lorong Taman Keladi, di sini.

Beliau berkata, sewaktu dalam perjalanan ke Bandar Sri Astana, penumpang iaitu remaja lelaki terbabit meminta meminjam wang sebanyak RM50 untuk membayar sewa rumah.

“Bagaimanapun pemandu itu memberitahu jika tiada wang, dia terpaksa menurunkan penumpang terbabit di lokasi berkenaan namun remaja terbabit enggan dan meminta membawanya ke rumah di Bandar Sri Astana untuk mengambil wang bagi membayar tambang itu.

“Namun sampai di rumah berkenaan, remaja terbabit meminta membawanya semula ke Taman Keladi dan menerima bayaran sebanyak RM18 daripada remaja berkenaan dan turut melengahkannya kerana membawanya ke beberapa lorong kecil.

“Pengadu terpaksa menurunkan penumpang itu di lokasi berkenaan dan meminta bayaran tambahan sebanyak RM9 dan penumpang itu memberikan wang RM20,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Zaidy berkata, sewaktu pemandu itu mahu memulangkan baki wang, penumpang berkenaan mengacukan sebilah pisau ke dada kirinya dan mahu merampas wang dari poket pemandu namun warga emas itu sempat merampas pisau serta mengigit tangannya untuk mempertahankan diri kemudian suspek kemudian melarikan diri.

-Advertisement-

Berikutan itu, polis berjaya merampas sebilah pisau berhulu Hitam berukuran 25 sentimeter (cm) yang dibawa remaja lelaki berkenaan dan di ditinggalkan di tempat kejadian.

“Pemandu e-hailing itu bagaimanapun tidak mengalami sebarang kecederaan,” katanya.

Zaidy berkata, hasil siasatan mendapati, remaja lelaki itu adalah anak sulung daripada empat beradik dan bukan di kalangan keluarga bermasalah.

Beliau berkata, kejadian itu dipercayai berpunca disebabkan suspek marahkan pemandu terbabit kerana dimaki dan cuba ambil semula wang bayaran tambang menyebabkan dia bertindak demikian.

“Selain itu terdapat rakaman melalui dashcam yang dipasang dalam kenderaan e-hailing berkenaan.

“Remaja lelaki itu berjaya ditahan jam 10 malam tadi iaitu selepas dua jam laporan polis dibuat pemandu e-hailing itu pada jam 8 malam tadi.

“Hasil ujian saringan awal air kencing terhadapnya mendapati remaja itu bebas dari pengaruh dadah dan tidak mempunyai sebarang rekod jenayah sebelum ini,” katanya.

Zaidy berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 393 Kanun Keseksaan dan remaja lelaki itu direman bermula hari ini untuk membantu siasatan.
-BeritaHarian


Notice: ob_end_flush(): failed to send buffer of zlib output compression (0) in /home/capitalp/public_html/wp-includes/functions.php on line 5427